11 Mac, 2009 17:51 PM

Pameran Kesedaran Palestin Akan Jelajah M'sia - Rais

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Kementerian Luar dengan kerjasama Yayasan Salam Malaysia (Salam) akan mengadakan pameran mengenai Palestin di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang kekejaman Israel, kata Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Rais berkata sebahagian daripada artifak dan gambar yang digunakan dalam pameran yang dimulakan di Parlimen hari ini akan turut dibawa ke London pada satu bengkel bersama Yayasan Menjenayahkan Peperangan pada hujung bulan ini selain untuk menimbulkan kesedaran kepada masyarakat antarabangsa.

"Beberapa pemimpin Israel yang memberikan pandangan membina mengenai krisis kemanusiaan di Palestin turut dijemput menyertai bengkel berkenaan.

"Saya akan bentangkan permohonan ini kepada jemaah menteri supaya kerajaan Malaysia menjadi pelopor kesedaran di peringkat antarabangsa mengenai kekejaman Israel," katanya kepada pemberita selepas pelancaran "Pameran Kesedaran Palestin" di bangunan Parlimen di sini, Rabu.

Pameran selama 14 hari bermula hari ini sehingga 24 Mac, yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, memaparkan kira-kira 100 gambar keadaan di Gaza.

"Pameran Kesedaran Palestin" juga dianjurkan bagi tujuan mempamerkan peranan Malaysia dalam mengutuk kekejaman serangan Israel terhadap Gaza, Palestin, selain turut melahirkan rasa simpati dan kesedihan dengan penduduk Palestin, terutama Gaza.

Pameran itu kemudiannya akan dipamerkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk memberi peluang kepada rakyat negara ini melihat dan berkongsi kesedihan dan penderitaan rakyat Palestin dan seterusnya akan ke lokasi terpilih di seluruh negara.

"Pameran ini juga untuk memperingati kedahsyatan serangan zionis Israel terhadap Gaza dan dalam bentuk pengertian amnya kita mengadakan pameran supaya masyarakat kita lebih memahami dan merasai betapa pentingnya kemanusiaan sedunia memberi perhatian terhadap kezaliman yang dicetus oleh Israel.

"Dalam konteks ini, kita memilih Parlimen dahulu untuk dijadikan sebagai tapak permulaan pameran yang akan berlegar di Malaysia...kita juga akan membawa sebahagian artifak dan gambar yang dipamerkan ke London dalam usaha kita mencegah peperangan malah menganggap peperangan sebagai salah satu jenayah kemanusiaan," kata Rais.

Mengenai gambar yang dipamerkan, Rais berkata pihaknya akan berusaha untuk mempamerkan gambar-gambar kesan penggunaan serbuk fosforus putih oleh tentera Israel bermula di PWTC.

Katanya Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur juga akan membantu membekalkan gambar-gambar eksklusif untuk tatapan rakyat di negara ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pihaknya akan mengadakan majlis agihan dana bantuan kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Salam, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) dan Mercy Malaysia yang akan menjalankan misi kemanusiaan di Palestin.

Katanya majlis pengagihan itu dijangka dihadiri isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Terdahulu, Pandikar Amin dalam ucapan perasmiannya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Luar dan Salam kerana menganjurkan pameran yang bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat di negara ini.

"Hari ini saya sungguh gembira kerana selepas membahaskan isu mengenai Gaza pada 12 Jan lepas, hari ini diadakan pameran pula. Ketika membahaskan isu Gaza, saya lihat kedua-dua pihak (Barisan Nasional dan pembangkang) saling berhujah. Yang dapat saya katakan hujahnya hanya satu iaitu mengutuk kekejaman Israel ke atas Gaza. Bagaimanapun saya yakin pameran ini mampu membangkitkan kesedaran," katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran "Pameran Kesedaran Palestin" itu adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Salam Datuk Ahmad A.Talib dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.