06 Januari, 2009 19:59 PM

PPIM Lancar Kempen Boikot Produk Yahudi Jumaat

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan melancarkan kempen memboikot produk Yahudi secara besar-besaran di seluruh negara bermula Jumaat ini di Masjid Negara.

Setiausaha Agung PPIM Datuk Dr Ma'mor Osman berkata kempen itu bertujuan menggesa semua pengguna, termasuk umat Islam memboikot produk pengeluaran syarikat milik Yahudi.

"Kempen ini akan dijalankan bersama-sama dengan beberapa badan bukan kerajaan yang lain (NGO) termasuk Malaysian Chinese Muslim Association (MCMA), Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) dan Interactive Muslimah Association (Iman).

"Ini bagi membantah kebiadapan, kezaliman Israel dan sekutunya ke atas rakyat Palestin. Masyarakat pengguna Islam di negara ini harus turut serta dengan tidak menyokong produk terpilih ini bagi membantah kezaliman Israel dan sekutunya," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Kempen itu adalah sebagai tanda protes serangan Israel ke atas Palestin sejak dua minggu lepas yang mengakibatkan lebih 300 rakyat Palestin terbunuh.

Dr Ma'mor berkata dalam kempen itu, PPIM akan turut menggesa Halal Industry Development Corporation (HDC) menarik balik sijil halal yang diberikan kepada syarikat-syarikat milik Yahudi kerana ia tidak sepatutnya diberi pengiktirafan dan status halal negara ini.

"Ini kerana hasil keuntungan daripada produk-produk itu digunakan untuk menzalimi rakyat negara Islam dengan mengeluarkan bom dan juga peluru," kata Dr Ma'amor.

Katanya menggunakan kuasa kepenggunaan, para pengguna dapat melumpuhkan ekonomi syarikat itu dan menghantar isyarat jelas kepada Israel dan Amerika Syarikat agar tidak menzalimi umat Islam di Palestin.

"Dengan cara ini, secara tidak langsung kita juga dapat meningkatkan produk keluaran tempatan," katanya.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.