Berita-berita Lain
30 Oktober, 2009 15:22 PM
Deepavali Dirai Atas Semangat Perpaduan Dan Toleransi
Oleh Rohana Mustaffa
KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Dia memperkenalkan dirinya sebagai Mohd Syaleed, kali pertama kami bersua.
"Saya memang tinggal dengan ibu bapa saya," katanya apabila melihat penulis menoleh ke arah rumah beliau.
Beliau faham apa yang bermain di fikiran penulis, kerana rumah yang ditunjuknya, didiami oleh sebuah keluarga India.
Nama sebenar Syaleed ialah N.Selvam, tetapi nama itu sudah lama tenggelam kerana dalam kalangan kawan-kawan, sahabat handai, rakan niaga dan keluarga, beliau ialah Mohd Syaleed, walaupun belum Islam.
"Kawan-kawan di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang bagi nama ini pada saya ," kata kontraktor berusia 31 tahun ini.
Daripada bujang sehingga sudah beristeri awal tahun ini, Syaleed masih tinggal dengan ibu bapanya, adik perempuan, abang dan kakak iparnya di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Seri Gombak di sini. Abangnya, Arasu sudah memeluk Islam dengan nama Azrul Ariffin.
Deepavali pada 17 Okt tahun ini disambut lebih meriah dan penuh bermakna kerana keluarga ini menerima dua orang baru, isteri Syaleed dan isteri Azrul.
SAMBUT AIDILFITRI
Tidak sampai sebulan sebelum itu mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah keluarga isteri Azrul, di Puncak Alam.
Malah semasa Ramadan, Syaleed bangun sahur bersama abang dan kakak iparnya. Beliau memang sudah biasa berpuasa dan selama dua tahun ini beliau mampu berpuasa penuh.
"Ibu bapa saya memang berfikiran terbuka. Kata bapa, keluarga kami kecil, jadi tak usahlah nak fikir untuk berpindah selepas kami berkahwin atau memeluk Islam. Kami boleh duduk satu rumah, tiada masalah," kata Syaleed.
Beliau sendiri yang dalam perancangan untuk mengikut jejak abangnya, tidak pernah merasakan suatu beban baginya untuk mendalami Islam dan pada masa yang sama menjalani kehidupan bersama ibu bapa tercinta.
"Bapa memang tahu kecenderungan saya terhadap Islam kerana saya mengikuti beberapa subjek seperti Undang-undang Jenayah Islam dan Undang-undang Keluarga Islam semasa di UPM," katanya.
Menurut Syaleed, keluarganya berpegang kepada prisip bahawa semua agama mengajak ke arah kebaikan, maka agama Hindu atau Islam bagi mereka tidak membawa perbezaan yang boleh merenggangkan hubungan keluarga dan mencetuskan salah faham.
Jika sudah ada persefahaman seperti itu, toleransi secara semula jadi tidak susah untuk diamalkan dan perpaduan dalam keluarga susah untuk digugat, katanya.
KELUARGA CONTOH
Keluarga Syaleed antara contoh keluarga Malaysia yang mendukung semangat perpaduan dan toleransi ini, baik dari segi pegangan agama, amalan budaya, tradisi berkeluarga atapun pengisian adat resam seharian.
Semangat ini begitu jelas dilihat ketika musim perayaan sesuatu kaum, bukan sahaja melalui tradisi kunjung mengunjung, tetapi juga cara mereka menyediakan juadah untuk dinikmati bersama.
Rajkumar King, misalnya tidak pernah lupa pada setiap kali Aidilfitri atau Aidiladha untuk menantikan sahabat baiknya Zukri Mohd Ali pulang dari kampung kerana Zukri tidak akan ketinggalan ke rumahnya menghantar ketupat, lemang dan rendang.
Semasa tiba perayaan agamanya atau Tahun Baru, giliran Rajkumar pula menjamu Zukri sekeluarga.
PERPADUAN DAN TOLERANSI
Di sebuah pejabat di ibu kota, para petugasnya sengaja melengahkan untuk mengadakan jamuan Aidilfitri tahun ini kerana mahu merayakannya sekali dengan sambutan Deepavali, dua hari sebelum Syawal berakhir.
Pengisiannya juga dibuat secara teliti, dari segi hiasan, ada Kolam dan ada buluh lemang, hidangannya ada ketupat dan rendang, ada putu mayam, capati dan vadai. Tetamu yang hadir, berbaju Melayu dan berbaju kurung, sari atau dhoti-kurta. Malah sampul duit mereka juga, ada yang bertulis Selamat Hari Raya dan separuh lagi Happy Deepavali.
Keharmonian kaum dan toleransi agama ini menjadi landskap perpaduan kaum di Malaysia.
Isteri Tengku Mahkota Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris pernah dilaporkan berkata selepas 52 tahun Malaysia menyambut kemerdekaan, tidak harus timbul persoalan atau keraguan tentang nilai toleransi yang menjadi amalan masyarakat majmuk di negara ini.
Baginya, setiap rakyat Malaysia perlu terus memperkasa perpaduan pelbagai kaum yang terbukti menjadi tunjang kekuatan negara.
Beliau berkata jika kita asyik mencari perbezaan maka kita akan menjumpai bermacam-macam perbezaan. Sebaliknya jika kita mencari persamaan akan terjumpalah berbagai-bagai persamaan walaupun kita berbeza latar belakang, warna kulit dan anutan.
"Kita tinggal di bumi yang sama dan bercakap bahasa yang sama. Perkara-perkara yang membuatkan kita menangis dan ketawa pun selalunya sama. Tiada ruginya kalau kita berbaik-baik, sebaliknya kita akan rugi kalau asyik memandang serong sesama kita," katanya.
RUMAH TERBUKA MALAYSIA
Lima tahun lepas, Tan Sri Chong Kah Kiat, Timbalan Ketua Menteri Sabah, dalam satu ucapan pada seminar keharmonian agama, berkata tahap toleransi rakyat Malaysia sangat tinggi hasil kepelbagaian yang unik di negara ini.
Kepelbagaian yang istimewa ini juga membuktikan sikap keterbukaan kerajaan untuk membenarkan rakyat mempraktikkan anutan agama yang berbeza dan dalam masa yang sama menjadikan Islam sebagai tunjang kekuatan bagi perpaduan seluruh penduduk.
Tahap toleransi yang tinggi dapat disaksikan dalam perayaan keagamaan dan kaum yang dipraktikkan rakyat termasuk amalan kunjung mengunjung pada "rumah terbuka" masing-masing - Hari Raya, Hari Kaamatan, Deepavali, Krismas, Tahun Baru Cina dan lain-lain -- sehinggakan kerajaan mengangkat amalan ini dengan mengadakan Rumah Terbuka Malaysia untuk perayaan setiap agama.
Pada 1 Nov ini, sekali lagi perpaduan dan toleransi kaum dan agama ini akan diserlahkan pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Malaysia di Ladang Siliau, Port Dickson, Negeri Sembilan dalam semangat 1Malaysia.
Suasana di Rumah Terbuka Malaysia ini akan menunjukkan keadaan sebenar sikap, perwatakan dan keperibadian yang dimiliki rakyat Malaysia dalam konteks Satu Malaysia
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.




