, 21 2009

23 Jun, 2009 11:40 AM

Memahami Kesihatan Wanita

Oleh Soraya Jamal

PETALING JAYA, 23 Jun (Bernama) -- Kaum Hawa sangat mengambil berat akan kesihatan suami, anak dan orang yang disayangi tetapi malangnya mereka mengabaikan kesihatan sendiri.

Menjaga kesihatan penting dalam keseluruhan hayat seorang wanita, dan bukan apabila mengandung dan melahirkan anak sahaja. Walaupun lelaki dan wanita banyak mengalami masalah kesihatan yang sama, wanita menerima kesan yang berbeza dengan ada antara masalah ini lebih ketara di kalangan mereka sementara ada pula unik kepada wanita.

Pakar perunding obstetrik & ginekologi Datuk Dr Nor Ashikin Mokhtar menjelaskan bahawa wanita berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan di peringkat berlainan hayat mereka.

Bagi Dr Nora Ashikin, memahami isu-isu ini dan keadaannya adalah penting dalam memudahkan langkah-langkah pencegahan dan menangani perubahan fisiologi.

EMPAT PERINGKAT PENTING

Masalah kesihatan wanita boleh dibahagikan kepada empat peringkat mengikut usia - 18-30 tahun, 30-50 tahun, 50-70 tahun serta 70 tahun dan lebih - kata Dr Nora Ashikin semasa satu bengkel media mengenai kesihatan wanita yang dianjurkan oleh Weber Shandwick dan Novartis.

Isu-isu utama kesihatan yang memberi kesan kepada wanita dalam kumpulan umur 18-30 tahun ialah jerawat, pencegahan kehamilan, diet, kesihatan servikal, masalah haid, kehamilan dan sindrom pra-haid.

Wanita dalam kumpulan umur 30-50, di sebaliknya, berdepan dengan masalah kemurungan, endometriosis, kesuburan, keibubapaan, kesihatan seksual dan masalah berat badan.

Bagi wanita dalam kumpulan usia 50-70 tahun, isu-isu utama kesihatan pada mereka ialah penyakit jantung, digenerasi makular, menopause, osteoartritis dan osteoporosis sementara wanita dalam kumpulan usia 70 dan lebih menghadapi artritis, masalah daya ingatan, nutrisi dan sakit tidur.

Dr Nora Ashikin berkata menangani semua masalah kesihatan ini dengan sekali gus bukan mudah.

Nasib baik, maklumat akan penyakit ini dan keadaannya mudah didapati, membolehkan wanita dalam semua kumpulan umur untuk mengenalpasti perubahan-perubahan yang bakal berlaku dan dengan itu mereka lebih bersedia untuk menghadapinya.

Langkah-langkah mudah seperti pemakanan sihat, senaman berjadual dan pemeriksaan perubatan berjadual boleh banyak membantu dalam mengurangkan faktor risiko dan mencegah penyakit.

KANSER PAYUDARA

Kanser payudara masih dianggap sebagai kanser paling lazim di kalangan kaum hawa di seluruh dunia. Di Malaysia, dianggarkan satu daripada 19 wanita menghadapi risiko mengalami penyakit ini.

Punca sebenar kanser payudara masih belum jelas tetapi Dr Nora Ashikin menunjukkan bahawa wanita dengan sejarah penyakit ini dalam keluarga menghadapi risiko lebih tinggi.

Faktor risiko lain termasuk pendedahan kepada radiasi, gumpulan benigna pada buah dada, obesiti, diet yang kaya lemak, haid yang bermula awal atau menopaus lewat.

Kajian menunjukkan bahawa pemeriksaan awal mampu mengurangkan kematian akibat barah payu dara. Wanita dalam usia 40-an dan lebih harus menjalani mamogram setiap 1 hingga 2 tahun memandangkan risiko meningkat dengan usia.

Bagaimanapun, wanita dengan sejarah barah payu dara dalam keluarga dinasihatkan menjalani pemeriksaan bermula usia lebih muda.

Selain daripada itu, wanita sangat digalakkan untuk memeriksa sendiri payudara mereka untuk mengesan sebarang perubahan.

KANSER SERVIKAL

Menurut Daftar Kanser Kebangsaan pada 2003, kanser servikal merupakan kanser kedua paling lazim di kalangan wanita Malaysia, mewakili 12.9 peratus daripada kanser pada wanita dengan 19.7 kejadian bagi setiap 100,000 orang penduduk.

Risiko kanser servikal meningkat dengan usia, kadarnya memuncak antara usia 60 hingga 69 tahun.

Dr Nora Ashikin berkata kanser servikal terjadi apabila sel-sel biasa pada serviks bertukar menjadi berkanser. Kebanyakan daripada kes disebabkan oleh virus humanpapilloma (HPV) yang merebak melalui hubungan seksual dengan mereka yang dijangkiti.

Pendarahan selepas melakukan hubungan seks dan antara kitaran haid merupakan beberapa daripada simptom kanser servikal. Ada kalanya, pendarahan mungkin begitu teruk sehingga ia boleh menyebabkan anaemia.

Simptom-simptom lain termasuk kesukaran untuk bernafas apabila melakukan senaman, mudah letih dan lelehan vagina yang berbau busuk. Ia boleh merebak ke pundi kencing dan menyebabkan darah pada kencing. Ia juga mungkin merebak ke rektum, menyebabkan pendarahan di dubur dan kesakitan semasa membuang air besar.

Beliau menasihatkan kaum hawa, khasnya mereka yang aktif daripada segi seksual, untuk menjalani ujian 'Pap Smear' secara berjadual untuk mengesan sel-sel luar biasa yang boleh menjadi pencetus kanser servikal.

KESIHATAN REPRODUKTIF

Sementara itu, kesihatan reproduktif merupakan satu lagi yang berkaitan dengan wanita. Sistem reproduktif wanita memainkan peranan penting dalam kehamilan dan antara sistem paling mudah terjejas.

Masalah dengan sistem ini boleh menjejaskan kesuburan dan kemampuan untuk hamil. Masalah kesihatan reproduktif boleh juga menjejaskan kesihatan keseluruhan dan menjejaskan keupayaan wanita untuk menikmati hubungan seks.

Secara ideal, kata Dr Nora Ashikin, wanita harus membawa anak perempuan mereka untuk bertemu pakar ginekologi tiga tahun selepas haid pertama. Pemeriksaan berjadual boleh membantu mengesan apa-apa yang luar biasa.

Putus haid merupakan satu lagi elemen riwayat wanita. Ada wanita yang mengalami simptom menopaus seawal usia 40 tahun.

Semasa wanita menghampiri menopaus, mereka mungkin mengalami simptom yang berpunca kerana perubahan hormon dalam tubuh mereka. Simptom ini kekal untuk beberapa bulan dan boleh berlanjutan hingga 10 tahun.

Kebanyakan wanita yang melalui menopaus akan mengalami 'hot flashes'. Simptom lain menopaus termasuk haid tidak berjadual, insomnia, perubahan mood, keletihan, kemurungan, mudah direngsa, jantung yang berdenyut pantas, pening kepala, sakit sendi dan otot, vagina yang kering dan masalah kawalan kencing. Bagaimanapun, bukan kesemua wanita yang mengalami kesemua simptom menopaus ini.

Masalah kesihatan ini lebih jelas selepas kehilangan estrogen. Oleh sebab ini, wanita pasca menopaus lebih berkemungkinan mengalami osteoporosis, penyakit jantung, fungsi pundi kencing dan usus yang kurang baik, masalah kulit dan otot dan sedikit kehilangan daya penglihatan.

Dr Nor Ashikin berkata yang lebih penting ialah kaum hawa sendiri belajar untuk mengenalpasti masalah kesihatan yang mereka mungkin alami dan mengambil langkah proaktif untuk mencegah dan menanganinya.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.