22 Januari, 2009 14:54 PM

Jiran Anda Mungkin 'Polis'

Oleh Norazurra Aziz

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- "Sejak ada program kepolisan komuniti di sini, saya dengar tak banyak kes jenayah berlaku," kata peniaga Rashdan Mangsur kepada Bernama di Bandar Tasik Puteri, Rawang dekat sini baru-baru ini.

Beliau merujuk kepada program itu yang dilancarkan di kawasan perumahan berkenaan pada pertengahan tahun lepas.

Semasa pelancaran konsep 'community policing' pada 5 April 2007, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mengarahkan semua kontinjen polis membuat perancangan sistematik dengan mengambil kira penglibatan masyarakat dalam pencegahan jenayah.

Konsep 'community policing' atau kepolisan komuniti yang merupakan sebahagian daripada Pelan Strategik Lima Tahun Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi 2007-2011 banyak membantu polis mengurangkan kadar jenayah di beberapa lokasi di negara ini.

Musa dalam ucapan beliau pada satu majlis di sini baru-baru ini, berkata konsep itu adalah kaedah kepolisan masyarakat yang lebih efektif dalam membantu meningkatkan tahap perkhidmatan pasukan polis.

"Saya berpendapat menerusi community policing yang lebih efektif, tahap kerjasama masyarakat (dan polis) akan lebih baik. Hubungan rapat dengan masyarakat akan menambahkan perkhidmatan polis dan meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan oleh pasukan PDRM," kata Musa.

KEBERKESANAN

Pelaksanaan konsep kepolisan komuniti ini dilakukan dalam tiga fasa. Fasa pertama melibatkan kontinjen polis di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Fasa dua akan melibatkan kontinjen di semua negeri dan fasa tiga akan dilaksanakan dan melibatkan semua kontinjen serta daerah di setiap negeri. Program ini dijangka terlaksana mengikut jadual sehingga 2011.

Antara kawasan yang berjaya melaksanakan konsep itu ialah Taman Seri Maharani, Muar dan Taman Tan Sri Yaakub (Johor), Taman Wangsa Maju di Sentul (Kuala Lumpur) serta Taman Ocean, Daerah Timur laut (Pulau Pinang).

Taman Seri Maharani boleh diambil kira sebagai model konsep itu.

Kawasan ini berjaya melaksanakan pelbagai program dengan penglibatan aktif masyarakat taman perumahan itu. Kedudukan indeks jenayahnya adalah sifar dan ini satu daripada penunjuk keberkesanannya.

Antara negara yang melaksanakan konsep ini ialah United Kingdom, Amerika Syarikat, Hong kong, Australia dan Singapura.

RAKAN COP

Orang ramai mungkin sedikit keliru dengan konsep polis komuniti dan ada yang mengatakan ia satu segmen lain daripada konsep 'Rakan Cop'.

Rakan Cop ialah program kepolisan masyarakat yang dilancarkan PDRM di sini pada 9 Ogos 2005 untuk mengurangkan kadar jenayah di bandar raya ini serta lain-lain tempat di seluruh negara manakala 'community policing' ialah kesinambungan daripada konsep itu.

Musa berkata konsep dan garis panduan mengenai kepolisan komuniti ini akan dimantapkan dalam usaha meningkatkan kerjasama dan hubungan antara masyarakat dan polis.

Kata beliau banyak kaedah atau cara untuk menambah keberkesanan kepolisan komuniti atau kejiranan ini termasuk meningkatkan kesanggupan untuk bekerjasama dengan polis, sukarelawan polis dan penambahan sektor Rukun Tetangga.

Di bawah kaedah kepolisan masyarakat yang lebih berkesan, Musa mengarahkan agar diwujudkan "sektor CP" di mana seseorang pegawai polis akan bertanggungjawab terhadap sesuatu sektor tertentu.

Apabila pegawai itu bertugas di kawasan berkenaan, beliau akan memperkenal dirinya kepada penduduk yang tinggal di situ sebagai 'Community Relation Officer' dan akan memberikan nombor telefonnya agar segala maklumat (orang awam) boleh disampaikan kepadanya, jelas beliau.

Bagi membincangkan masalah, cadangan serta pendapat yang dihadapi penduduk, mesyuarat antara polis dan penduduk diadakan. Ia juga penting bagi mendapatkan maklumat daripada orang awam tentang siasatan yang sedang dijalankan polis.

POLIS DAERAH

Musa turut mencadangkan agar setiap Pejabat Polis Daerah mewujudkan Unit Community Policing sendiri dan berharap dengan strategi dan kaedah itu, ia akan dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap gejala jenayah di kawasan mereka.

Di Johor Baharu misalnya kadar jenayah di bandar raya itu sebenarnya menurun, tetapi persepsi masyarakat setempat adalah sebaliknya.

Sumbangan masyarakat yang sudi bekerjasama dengan pihak polis dalam menyalurkan maklumat, tidak boleh diperkecil dan dipandang ringan kerana sebagai 'mata dan telinga' polis, mereka lebih arif dan mengetahui apa yang terjadi di kawasan perumahan mereka.

Konsep ini merupakan metodologi terbaru bagi menggantikan kepolisan konvensional dengan melibatkan masyarakat sendiri secara langsung berperanan sebagai 'polis'.

MATA, TELINGA'

Sementara itu, seorang penduduk di kawasan Gombak, Annas Hakime, 28, berkata konsep 'community policing' yang diwujudkan pihak polis dapat membantu mengurangkan kegiatan jenayah di sekitar kawasan perumahan mereka.

"Penduduk boleh salurkan maklumat tanpa rasa takut. Saya harap orang ramai jangan lepaskan peluang membanteras jenayah dengan menjalin kerjasama dengan pihak polis," katanya.

Bagi Rozita Aziz, 36, berganding bahu dengan polis tidak langsung merugikan malah dapat menyelesaikan masalah bersama, ini kerana bukan saja satu pihak yang untung, tapi kedua-dua sekali.

"Jadikanlah polis dalam komuniti anda sebagai sahabat atau teman karib supaya tidak ada jurang. Ia penting dalam proses menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah," katanya.

Mohd Shafiq Zakaria, 24, seorang juruteknik pula menyifatkan pelaksanaan kepolisan komuniti oleh PDRM itu, satu usaha yang amat baik kerana baginya masyarakat harus sedar bahawa tugas membasmi jenayah bukan sahaja terletak di bahu pihak polis semata-mata.

"Masyarakat juga harus main peranan. Usaha ini bagus dan dilihat berkesan kerana dengan terjalinnya hubungan baik ini, orang ramai akan menjadi 'mata dan telinga' polis.

"Ia sekaligus akan menakutkan dan menyukarkan kegiatan penjenayah," kata beliau.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.