06 November, 2009 22:08 PM

Penanggung Insurans Dalam Proses Menerima Pakai ISM-ABI

PETALING JAYA, 6 Nov (Bernama) -- Kebanyakan syarikat insurans dan takaful utama kini dalam proses menerima pakai Sistem Risikan Perniagaan Automotif (ABI) ISM Insurance Services Malaysia, mulai tahun depan.

Ketua pegawai eksekutif ISM, Carl Rajendram, berkata ISM-ABI adalah satu-satunya sistem yang diluluskan bagi penilaian kenderaan oleh syarikat-syarikat perkhidmatan kewangan di negara ini.

"Sistem ini akan memastikan pemilik kenderaan menikmati perkhidmatan dan nilai yang lebih baik bagi wang yang mereka belanjakan bagi produk insurans motor dan takaful motor.



"Ia adalah sebahagian daripada proses pemodenan perlindungan insurans motor dan takaful motor Malaysia," katanya pada satu taklimat media tentang sistem baru itu di sini Jumaat.

Rajendram berkata Bank Negara Malaysia dan Persatuan Insurans Am Malaysia telah meluluskan ISM-ABI dan panduan nilai pasaran telahpun dimasukkan dalam polisi insurans motor sebagai titik rujukan yng dibenarkan bagi menentukan nilai pasaran kenderaan.

Beliau berkata pada masa ini, banyak syarikat insurans akan mencetak jumlah yang diinsuranskan pada tahun sebelumnya dan premium yang sama pada notis pembaharuan yang dihantar kepada pemilik kenderaannya.

"Tangungjawabnya terletak pada pemilik kenderaan untuk melaraskan jumlah yang diinsuranskan dalam nilai pasaran semasa sebelum meminta ejen atau syarikatnya mengira semula premium.

"Ramai pengguna terperangkap kerana mereka gagal melaraskan jumlah yang diinsuranskan sewajarnya, menyebabkan sama ada terlebih diinsurans atau kurang diinsurans," katanya.

Jika ada tuntutan, kata Rajendram, pengguna akan didenda kerana kurang menginsurans kenderaannya atau jika terlebih insurans pula, hanya nilai pasaran akan dibayar.

Rajendram berkata sebelum ISM-ABI, tiada titik rujukan kuantitatif dan yang boleh dipercayai untuk menentukan nilai pasaran kenderaan dan ini mengakibatkan rungutan terhadap penanggung insurans di mana pengguna gagal melaraskan jumlah yang diinsuranskan.

"Bagaiomanapun, dengan ISM-ABI, syarikat insurans dan takaful kini boleh mengeluarkan notis pembaharuan dengan jumlah yang diinsuranskan dalam tahun semasa serta jumlah premium yang harus dibayar.

"Perkhidmatan ini meningkatkan ketelusan dalam keseluruhan proses insurans motor bukan sahaja bagi membeli tetapi juga semasa membuat tuntutan," katanya.

Katanya sistem baru ini akan juga membantu penanggung insurans dan pengusaha takaful menentukan lebih awal pampasan bagi tuntutan kecurian dan kerugian menyeluruh dengan merujuk kepada pangkalan data ISM-ABI.



Rajendram berkata pengguna boleh mengesahkan nilai pasaran kenderaan melalui laman web di www.carprices.com.my dan mendapatkan maklumat yang sama seperti penanggung insurans.

"Perkhidmatan baru ini akan mengurangkan ketidakpastian apabila menginsuranskan kenderaan dan mengurangkan rasa tidak puas hati yang dialami pengguna semasa membuat tuntutan insurans," katanya.



-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.