Berita-berita Lain
05 November, 2009 17:10 PM
MITI Ambil Kira Semua Pandangan Mengenai NAP
KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MII) akan mengambil kira semua komen dan pandangan tentang Dasar Automotif Negara (NAP).
Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed, berkata orang ramai tidak perlu cemas kerana semua pemilik kepentingan akan diminta memberikan pandangan sebelum peraturan-peraturan baru dilaksanakan.
"Kami akan melaksanakannya secara berperingkat dan juga berunding dengan pemilik kepentingan," katanya selepas menyampaikan Anugerah Biasiswa Panasonic 2010 di sini pada Khamis.
Mustapa berkata demikian bagi menjawab kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam yang meminta MITI mengkaji rungutan tentang peraturan-peraturan baru dalam NAP dan menyediakan satu laporan.
Antara rungutan itu ialah terhadap rancangan untuk memastikan kenderaan berusia melebihi 15 tahun dikenakan pemeriksaan mandatori. Ini mendapat maklum balas bercampur-campur daripada orang ramai.
Cadangan itu adalah antara 18 langkah baru di bawah NAP untuk meningkatkan daya saing industri automotif tempatan serta bagi memastikan kenderaan lebih selamat dan lebih mesra alam.
Mustapa berkata semua maklum balas telah dikumpul sejak pengumuman NAP yang dikaji semula itu, dan kementerian itu sedang memantau keadaan dengan teliti.
"Ada yang telah menulis surat kepada kita, ada yang menghantar surat kepada pengarang akhbar.
Kita akan berunding dengan pemilik kepentingan dan keputusan akan dibuat secepat mungkin," jelasnya.
Ditanya tentang kebarangkalian satu lagi kajian semula NAP dibuat, beliau berkata pandangan orang ramai penting.
Oleh kerana NAP akan dikuatkuasakan pada Januari, keputusan tidak perlu dibuat tergesa-gesa, katanya.
"Saya ingin memberikan jaminan bahawa orang ramai amat penting selain keselamatan dan jaminan.
"Dalam beberapa minggu akan datang, kerajaan akan mengumumkan hasil post mortem, semacam pascapengumuman, dalam perkara ini," katanya.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.



