Berita-berita Lain
05 November, 2009 17:02 PM
Syed Hafiz Ke Lebanon Selepas Bersara Dari Perodua
PUTRAJAYA, 5 Nov (Bernama) - Pengarah Urusan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) Datuk Syed Abdull Hafiz Syed Abu Bakar bercadang untuk menjalankan kerja-kerja sukarela selepas tamat kontraknya bersama syarikat itu.
Syed Abdull Hafiz, 51, yang telah menjawat jawatan itu selama lima tahun, membuat keputusan tidak mahu menyambung kontraknya bersama Perodua yang akan berakhir 31 Disember ini.
"Saya ingin ke Kem Syatilla (kem mangsa pelarian perang), Lebanon. Munkin pada Januari tahun hadapan," katanya kepada media pada Khamis.
"Saya juga ingin melakukan kerja-kerja konsultasi secara sukarela tanpa apa-apa bayaran. Mungkin berkaitan keselamatan," katanya.
"Saya sudah berkhidmat dengan syarikat asing Exxon Mobil selama 13 tahun, syarikat tempatan UMW Group dan Perodua 15 tahun, jadi sekarang saya mahu bersendirian."
Beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan Perodua pada 1 Disember, 2004.
Syed Abdull Hafiz berkata ketika ini beliau sudah pun kerap menerima jemputan memberi syarahan di universiti-universiti tertentu berkaitan dunia korporat.
Beliau ditemui media di Uji Pandu Media "Perodua MPV" di sini.
Ketika ditanya sama ada beliau ingin mempunyai perniagaan sendiri, beliau berkata, "Saya tak mahu buat perniagaa. Tak suka, takut."
Menurutnya, beliau ingin mempunyai lebih masa bersama keluarga dan masyarakat.
"Sebelum ini ramai orang minta tolong, tetapi saya terlalu sibuk. Saya tak dapat membantu dan saya malu."
Ketika ditanya sama ada beliau sedia menerima sekiranya dipanggil berkhidmat di sektor awam, jawapannya, "Kita kena selalu sedia berkhidmatlah."
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata Syed Abdull Hafiz terlalu muda untuk mengundurkan diri dari dunia korporat.
Beliau akan diganti oleh Aminar Rashid Salleh berkuat kuasa 16 Nov, 2009, kata Perodua dalam satu kenyataan semalam.
Perodua, yang diwujudkan pada 1993, adalah satu syarikat usahasama antara rakan-rakan Malaysia dan Jepun.
Ditanya sama ada beliau merancang ke Old Trafford menyaksikan Liga Perdana Inggeris selepas persaraannya, Syed Abdull Hafiz yang suka bergurau berkata, "Sejuk. Dari parking (tempat meletak kereta) nak masuk stadium boleh mati 14 kali."
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.



