Berita-berita Lain
05 November, 2009 16:41 PM
MRCB Tunggu Peruntukan Persekutuan Untuk Mulakan Pembinaan Terminal
BUTTERWORTH, 5 Nov (Bernama) -- Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), pemaju projek hab pengangkutan bersepadu dan komersil Penang Sentral di Butterworth, sedang menunggu peruntukan dari kerajaan persekutuan untuk memulakan pembinaan terminal pengangkutan itu.
Pengarah Eksekutif syarikat berkenaan, Datuk Ahmad Zaki Zahid berkata, MRCB merancang untuk memulakan pembinaan terminal itu tahun depan dan berharap proses rundingan mengenai pengambilan tanah di kawasan terlibat selesai secepat mungkin.
Mengikut perancangan pembinaan, katanya terminal itu memerlukan peruntukan dari kerajaan persekutuan kerana ia melibatkan utiliti awam manakala MRCB dan beberapa pelabur lain akan memajukan ruang komersil di hab pengangkutan itu.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri program tanggung jawab sosial korporat (CSR) MRCB di sini, beliau berkata pembinaan projek itu agak lewat dimulakan berikutan proses rundingan tanah mengambil masa untuk diselesaikan dan pada masa yang sama peruntukan belum diperolehi.
"Kita sedang menguruskan perkara itu dan berharap ia dapat dimulakan tahun depan. Setakat ini, proses rundingan mengenai tanah menampakkan kemajuan," katanya.
Ahmad Zaki berkata lawatannya ke kawasan terminal sementara bas di tapak Penang Sentral itu pada Khamis mendapati ia beroperasi dan diuruskan dengan baik.
"Saya berpuas hati dengan keadaan keselamatan serta kemudahan dan prasarana yang disediakan di terminal sementara itu termasuk kemudahan ruang penjajanya. Setakat ini tiada aduan diterima daripada pengguna terminal berkenaan," katanya.
Terminal bas sementara itu, yang dianggarkan bernilai RM5 juta, dibina di kawasan berhampiran bagi memindahkan operasi bas ekspres dan bas biasa ke tempat yang lebih teratur supaya kerja-kerja pembersihan dan penyediaan tapak dapat dilakukan untuk memulakan pembinaan Penang Sentral.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa kerja pembinaan hab pengangkutan Penang Sentral dijadualkan bermula pada suku pertama 2009 dan dijangka siap pada 2011 manakala keseluruhan pembangunan komersil kawasan itu akan siap pada 2015.
Kompleks bersepadu itu, yang dimajukan bersama dengan Pelaburan Hartanah Bumiputra Bhd, akan menjadi pusat untuk pengangkutan feri, bas dan teksi serta keretapi.
Terdahulu, seramai 300 murid di tiga buah sekolah angkat MRCB iaitu SK Dato Kramat, SK Kampung Jawa dan SK Bagan Jermal menerima bantuan persekolahan berupa beg, pakaian dan kasut sekolah untuk tahun depan pada program CSR itu.
Ketiga-tiga buah sekolah itu dipilih oleh MRCB melalui program PINTAR dan masing-masing menerima pelbagai bantuan dalam bentuk kelengkapan sekolah, kelas tambahan, program motivasi pelajar dan ibu bapa serta kursus menjawab soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bernilai RM60,000 setiap sebuah.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.



