05 November, 2009 16:30 PM

Industri Fesyen Berpotensi Berkembang, Kata Mustapa

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berminat membangunkan industri fesyen kerana industri itu berpotensi untuk berkembang, kata Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed pada Khamis.

Katanya industri fesyen, tekstil dan pakaian menyumbang kira-kira RM10.5 juta kepada perolehan eksport negara ini pada tahun lepas.

"Industri fesyen mempunyai hubungan kukuh dengan prestasi industri tekstil dan pakaian negara ini serta syarikat reka bentuk dan pusat yang menawarkan pengajiannya," katanya semasa melancarkan Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia Ke-tujuh.

Mustapa berkata kementeriannya sesuai menyediakan sokongan yang diperlukan oleh industri tekstil dan pakaian.

Kini, katanya kementerian menyokong industri fesyen, tekstil dan pakaian melalui Pusat Tekstil dan Pakaian Malaysia (MATAC) dengan menyediakan pembiayaan untuk membantu para pengilang di segi reka bentuk, promosi eksport dan pemasaran antarabangsa, katanya.

Tahun ini, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sedang berusaha bersama-sama Gabungan Fesyen Antarabangsa Malaysia (MIFA) bagi menganjurkan sesi pemadanan perniagaan individu semasa minggu fesyen itu, katanya.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.