Berita-berita Lain
05 November, 2009 14:30 PM
Al Rajhi Bank Malaysia Sasar Lembaran Imbangan RM6 Bilion
KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Al Rajhi Bank Malaysia menetap sasaran merekodkan lembaran imbangan RM6 bilion tahun ini berbanding RM2 bilion pada 2007.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmed Rehman berkata bank itu kini berkembang agresif meskipun berhadapan cabaran ekonomi global.
"Kami akan mengurus pertumbuhan dengan berhati-hati. Tumpuan utama kami tahun ini ialah melaksanakan strategi saluran perbankan alternatif menyeluruh yang meliputi mesin ATM, perbankan internet dan perbankan mudah alih," katanya selepas melancarkan penyertaan Al Rajhi Bank dalam sistem pembayaran elektronik Malaysia atau rangkaian perkongisan ATM MEPS.
Selepas tiga tahun beroperasi di Malaysia, Al Rajhi menjadi bank asing pertama menyertai MEPS.
Ahmed berkata krisis ekonomi global secara tidak langusng memberi impak ke atas perniagaan Al Rajhi, terutama di pasaran yang ia mempunyai pendedahan langsung terhadap impak kemelesetan ekonomi global.
Beliau bagaimanapun berkata ia tidak menjejaskan peluasan Al Rajhi di Malaysia.
Untuk tahun depan, beliau berkata bank itu sedang mengkaji untuk membuka empat atau lima cawangan di Malaysia, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.
Al Rajhi Bank Malaysia mempunyai 19 cawangan dan 17 kemudahan ATM di luar premis bank dan kini berusaha meningkatkan capaian pelanggan.
Menurut Ahmed, penyertaan bank dalam MEPS, akan memudahkan pelanggan membuat pengeluaran tunai dan menyemak baki antara bank berdasarkan terdapat kira-kira 9,000 ATM di seluruh negara.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MEPS, Mohd Suhail Amar Suresh berkata dua bank asing lain dijangka menyertai MEPS tahun depan.
"Kuwait Finance sudah mengesahkan penyertaan manakala sebuah lagi bank asing kini dalam peringkat perbincangan," kata Suhail.
Suhail berkata MEPS merekodkan lebih 11 juta transaksi ATM sebulan.
Diperbadankan pada 1997, MEPS ialah anak syarikat milik penuh institusi kewangan tempatan dan merupakan penyedia tunggal perkhidmatan rangkaian pembayaran antara bank di Malaysia.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.



