04 November, 2009 16:03 PM

Langkah Ke Arah Satu Piawaian Perakaunan Global Tunggal

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB) dan 23 pengasas piawaian perakaunan di rantau Asia Oceania mengadakan mesyuarat pertama mereka di Kuala Lumpur Rabu bagi mempermudah penjurusan kepada satu piawaian perkaunan global tunggal.

Pengerusi MASB, Mohammad Faiz Azmi, berkata forum peringkat serantau itu bertujuan mempermudah penjurusan dengan piawaian pelaporan kewangan antarabangsa (IFRS).

"Mesyuarat ini memainkan peranan penting sebagai batu loncatan dalam proses penjurusan dengan IFRS bagi rantau ini," katanya semasa mesyuarat kumpulan pengasas piawaian Asia-Oceania.

Mohammad Faiz berkata mesyuarat pertama itu juga bertujuan membincangkan dan memberikan input tentang beberapa deraf cadangan paling baru yang dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Perakaunan Antarabangsa (IASB).

"Perbincangan itu akan merangkumi pandangan tentang pengukuran nilai saksama, pembentangan penyata kewangan, pengiraan hasil dan IAS 39 mengenai perakaunan lindung nilai," katanya.

Selain Malaysia, pengasas piawaian pada mesyuarat itu terdiri daripada wakil-wakil dari Australia, China, India, Jepun, Hong Kong, Korea Selatan, New Zealand, Arab Saudi dan Singapura.

Upacara pembukaan dirasmikan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

Menurut Mohammad Faiz, penjurusan kepada satu piawaian global tunggal akan memberi manfaat kepada keseluruhan komuniti perniagaan di Malaysia serta d rantau Asia-Oceania.

"Ia akan membantu kita menjadi berdaya saing dalam pasaran yang semakin global," kata beliau.

Pada 1 Ogos, 2008 MASB mengumumkan rancangan untuk menjuruskan piawaian dengan IFRS menjelang 1 Januari, 2012.

Berikutan pengumuman itu, MASB menerima pakai kebanyakan daripada IFRS utama dan selain daripada beberapa pindaan dan semakan, beberapa IFRS utama yang belum diterima pakai kini ialah IAS 39 mengenai perakaunan lindung nilai dan IAS 41 mengenai piawaian bagi kegiatan pertanian.

Tarikh penerimaan pakai yang dicadangkan bagi IAS 39 ialah 1 Jan, 2010, manakala tarikh penerimaan pakai bagi IAS 41 akan diumumkan kemudian nanti.

"Dengan penyertaan kami dalam kumpulan pengasas piawaian Asia-Oceania, kami berharap pemilik kepentingan pelaporan korporat Malaysia boleh ada pengaruh ke atas hala tuju piawaian yang dikeluarkan oleh IASB," tegas Mohammad Faiz.



-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.