Berita-berita Lain
04 November, 2009 14:30 PM
Najib Lancar Forum Malaysia-Eropah
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan Forum Malaysia-Eropah (MEF) pada 12 Nov di Hotel Berjaya Times Square di sini.
Bertujuan membangunkan komuniti menerusi dialog, Forum pertama MEF bertema "Ke Arah Era Baharu Hubungan Malaysia-EU (Kesatuan Eropah)", itu juga melibatkan sesi bersama Najib.
Forum itu akan dipengerusikan oleh penaung dan penasihat MEF, Tan Sri Rafidah Aziz.
"Dialog itu akan memberi peluang bagi mengukuhkan pemahaman serta merealisasikan hasrat bersama antara Malaysia dan EU mengenai urusan berkaitan kepentingan bersama seperti perdagangan, pelaburan, pembangunan mampan serta agenda hijau (mesra alam)," kata pengasas dan anggota lembaga pemegang amanah MEF, Millicent Danker.
Beliau berkata wakil diplomatik dan perdagangan Eropah serta syarikat-syarikat Malaysia, kumpulan pemikir, komuniti perniagaan Eropah serta agensi-agensi kerajaan di Kuala Lumpur dijangka menghadiri dialog itu.
"Pelancaran MEF juga memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk menggariskan pendekatan pentadbirannya dalam meningkatkan hubungan Malaysia-EU.
"Ia adalah selari dengan peluasan EU selain peluang untuk beliau berkongsi pandangan mengenai rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-EU," katanya menerusi satu kenyataan di sini Rabu.
MEF memain peranan bukan kerajaannya untuk meningkatkan lagi kepentingan bersama dan pemahaman antara EU dan Malaysia. Ia juga bertujuan meningkatkan agenda global Malaysia menerusi pembabitan masyarakat sivil.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.



