04 November, 2009 14:23 PM

Pemujaradan Air Bawah Tanah Tidak Beri Kesan Kepada Alam Sekitar, Kata Sime Darby

Daripada SAMANTHA TAN CHIEW TING

SEOUL, 4 Nov (Bernama) -- Pemujadaran air bawah tanah tidak memberi kesan kepada pertumbuhan tumbuh-tumbuhan dan organisma hidup, kata Dr Azuhan Mohamed, Ketua Pengurusan Air Bahagian Tenaga dan Utiliti Sime Darby Bhd.

"Kelapa sawit dan sayur-sayuran lain dengan pengecualian tumbuh-tumbuhan berakar panjang tidak bergantung kepada air bawah tanah bagi pengambilan air mereka tetapi pada air yang terkandung dalam zon tidak tepu atau tanah lembap," katanya.

Bercakap kepada pemberita Malaysia dalam kunjungan teknologi air bawah tanah di Korea Selatan, Azuhan berkata pemujaradan air bawah tanah memberi kesan minimum kepada aliran sungai dan struktur-struktur air permukaan lain.

Beliau berkata pemujaradan air bawah tanah daripada akuifer (lapisan tanah yang mengandungi air) tidak terhad jauh daripada sungai dan stuktur air permukaan tanah lain dan daripada akuifer terhad tidak memberi kesan kepada sungai dan struktur-struktur air permukaan tanah lain.

"Akan terdapat kesan sekiranya pemujaradan air bawah tanah dilakukan dalam akuifer tidak terhad dan berhampiran dengan sungai dan struktur air permukaan tanah lain dan di mana jika terdapat sambungan hidraulik antara kedua-duanya," kata Azuhan.

Azuhan berkata pemujaradan air bawah tanah memberi kesan sedikit sahaja kepada aliran air sungai berbanding campur tangan terus ke atas sungai seperti pemujaradan terus daripada sungai dan membina empangan merentasi sungai untuk menyimpan air.

Pada Ogos, Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) membantah cadangan projek pembangunan sumber air bawah tanah Sime Darby di Batang Padang, Perak, berikutan kebimbangan akan kesannya kepada alam sekitar.

Azuhan berkata sistem bekalan air awam di Malaysia adalah berasaskan air permukaan menerusi penyaluran dari sungai secara terus (88 peratus) dan empangan simpanan (11 peratus).

Penyaluran sungai secara terus adalah sebanyak 12,964 juta liter sehari (MLD), empangan simpanan (1,609 MLD) dan air bawah tanah (195 MLD atau kira-kira satu peratus), katanya.

Air bawah tanah merupakan sumber air lestari jika dimujaradkan dengan betul. sebagai contoh, di Denmark, 100 peratus air yang digunakan diperoleh daripada air bawah tanah.



-- BERNAMA



Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.