04 November, 2009 14:12 PM

Syarikat ICT Tempatan Raih Tempahan RM10.9 Juta Di Pameran Perdagangan Timur Tengah

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Sebelas syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memperoleh tempahan bernilai RM10.9 juta di pameran perdagangan ICT, Gitex Technology Week, yang berlangsung dari 18-22 Okt di Dubai.

Syarikat-syarikat tersebut menyertai di bawah naungan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE). Pameran itu menarik pengunjung perdagangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta termasuk jabatan kerajaan dan syarikat IT.

Tempahan yang diterima oleh syarikat Malaysia adalah bagi penyelesaian keselamatan ICT, integrasi sistem, pembangunan kandungan bagi sektor pendidikan dan penjagaan kesihatan dan penyelesaian e-kerajaan, kata MATRADE dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Potensi jualan bernilai RM74 juta juga telah dikenal pasti susulan daripada pameran itu.

"Keupayaan syarikat ICT Malaysia diterima dengan baik di Timur Tengah dan oleh kerajaan tempatan.

"Ini kerana Malaysia merupakan negara e-kerajaan utama dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)," kata Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Noharuddin Nordin.

Beliau berkata pengalaman ICT tempatan merupakan model terbaik bagi negara-negara OIC untuk mengguna pakai inisiatif e-kerajaan bagi menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan mereka.

"Selain itu, syarikat ICT kita sudahpun mengeksport penyelesaian ICT mereka ke seluruh dunia, memudahkan pelanggan di Timur Tengah untuk memahami produk dan perkhidmatan ICT," katanya.

Tahun ini, syarikat ICT Malaysia menerima banyak pertanyaaan perniagaan dari Bahrain, Iran, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan UAE.

Meskipun kelembapan ekonomi sekarang, perbelanjaan ICT di negara-negara GCC berkembang pada kadar 10 peratus setahun. Ini menjadikan rantau itu satu daripada rantau yang paling pantas berkembang dari segi perbelanjaan ICT di seluruh dunia.

Perbelanjaan ICT di UAE dianggarkan kira-kira AS$11.4 bilion (AS$1.00=RM3.42) pada 2009 dan dijangka meningkat kepada AS$14.8 bilion pada 2011.

Perbelanjaan terbesar adalah dalam sektor pengguna yang dijangka meningkat kepada AS$6.8 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang daripada AS$5.3 bilion ketika ini.

UAE juga membelanjakan hampir AS$1.0 bilion bagi ICT dalam sektor tenaga komunikasi dan utiliti dan sektor kerajaan, dengan perbelanjaan dalam setiap sektor dijangka meningkat kepada AS$1.2 bilion pada 2011.



-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.