03 November, 2009 22:26 PM

Britain Ingin Bekerjasama Dengan Malaysia Dalam Kewangan Islam

Oleh P. Prem Kumar

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Kerajaan Britain berharap dapat bekerjasama dengan Malaysia dalam kewangan Islam berikutan kejayaan negara ini dalam sektor berkenaan.

Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Perniagaan Kecil Britain, Lord Mervyn Davies berkata sebagai pusat kewangan nombor satu dunia, London berminat berganding bahu dengan Kuala Lumpur kerana kedua-dua kerajaan boleh menjana lebih banyak idea dan skim bersama-sama.

"Hong Kong and Shangai Bank Corporation (HSBC), bank terkemuka global telah memindahkan ibu pejabat kewangan Islam mereka dari timur tengah ke Kuala Lumpur. Ini menunjukkan tahap keyakinan mereka terhadap pasaran Malaysia," kata Davis.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan rasmi satu hari ke Malaysia hari ini. Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Britain, Boyd McCleary.

Davis juga berkata yang Malaysia telah dimasukkan sebagai antara pasaran pertumbuhan tinggi ke-15 utama kerana bukan sahaja syarikat besar berminat dengan Malaysia tetapi juga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Britain.

"Sebagai menteri perdagangan, saya sentiasa menggalakkan kesemua 4.8 juta PKS kami untuk melabur dan terus menembusi negara baru muncul seperti Malaysia," kata beliau.

Davis juga berkata industri halal di Malaysia mempunyai masa depan cerah di UK kerana terdapatnya permintaan untuk industri itu di sana.

"Kesemua usaha ini akan disokong oleh langkah meliberalisasikan sektor perkhidmatan oleh kerajaan baru-baru ini. Langkah itu akan menggalakkan pelabur asing terutamanya syarikat kewangan mengembangkan perkhidmatan mereka di Malaysia.

"Liberalisasi ini akan juga lebih menarik kerana ia akan secara tidak langsung meningkatkan lagi pelaburan asing langsung (FDI).

Jumlah eksport barangan dan perkhidmatan dari United Kingdom ke Malaysia ialah 1.64 bilion pound sementara jumlah eksport dari Malaysia ke United Kingdom ialah 2.04 bilion pound.

Menurut beliau, Britain mempunyai perwakilan yang amat baik dalam semua sektor baru muncul di Malaysia seperti pendidikan, pembiayaan Islam, petroleum dan peruncitan.

Beliau turut menasihati semua sektor di Malaysia yang menyumbang kepada ekonomi agar menyokong saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sudah tiba masanya untuk melabur dalam sebahagian daripada ekonomi yang mempunyai potensi besar untuk pulih daripada situasi ekonomi yang lembap pada masa ini.

"Rancangan ini sama dengan apa yang telah kami lakukan di United Kingdom sejak dua tahun lepas," tambah beliau.

Apabila ditanya mengenai pertemuan beliau dengan rakan sejawatan di Malaysia, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, Davis berkata perbincangan mereka meliputi bidang yang meluas termasuklah kerjasama antara kedua-dua negara dalam sektor pendidikan dan kewangan.

"Kami akan meneruskan dialog bagi liberalisasi seterusnya yang mana kami akan usahakan untuk meninjau lebih banyak perniagaan di sini," kata beliau.

Mengenai lawatan beliau ke Malaysia, Davis berkata ia adalah untuk mengetahui dengan lebih baik keadaan ekonomi tempatan dan terus meningkatkan hubungan dua hala antara London dan Kuala Lumpur.

Sebelum mengadakan pertemuan dengan Mustapa, menteri itu telah merasmikan persidangan "British Educational Suppliers Asia" dan menyertai forum Ketua Pegawai Eksekutif Asian Strategic Leadership Institute.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.