03 November, 2009 22:09 PM

Peserta Kewangan Islam Digesa Teraju Usaha Tarik Pengurus Dana

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Peserta kewangan Islam perlu menerajui usaha dalam mengukuhkan lagi kerangka sektor tersebut untuk menarik syarikat pengurusan dana Islam global menubuhkan operasi mereka di negara ini, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata para peserta perlu terus memulakan kempen pemasaran dan promosi meluas kerana usaha ini penting terutamanya dalam mewujudkan persekitaran menarik bagi faedah kedua-dua pihak.

"Usaha giat diperlukan untuk memacu inovasi bagi memenuhi keperluan yang sentiasa berubah dan inovasi merupakan kunci untuk menambah nilai masa depan kewangan Islam," katanya di majlis Makan Malam Anugerah Kewangan Islam KLIFF 2009, di sini, Selasa malam.

"Cabaran besar adalah untuk meningkatkan kedudukan global kita, terutamanya memandangkan persaingan yang semakin sengit dalam segmen pasaran kewangan antarabangsa yang semakin pesat berkembang," kata Nor Mohamed.

Sementara itu, beliau mendedahkan pasaran bon Malaysia seperti Sukuk mengekalkan penguasaannya yang ketika ini menyumbang 58 peratus daripada jumlah pasaran bon, sambil menambah setakat ini terbitan sukuk berjumlah RM6.4 bilion dengan tiga terbitan besar bernilai antara RM1 bilion hingga RM2.5 bilion.

"Sehingga Oktober, terbitan Sukuk berjumlah RM26.1 bilion, menyumbang 54 peratus daripada jumlah terbitan bon sebanyak RM48.6 bilion," katanya.

Nor Mohamed berkata terbitan sekuriti Islam juga mengekalkan penguasaannya dengan kira-kira 87 peratus daripada sekuriti tersenarai di Bursa Malaysia mematuhi Syariah, yang menyumbang kira-kira 65 peratus daripada permodalan pasaran.

Mengenai industri saham amanah, dana Islam ketika ini menyumbang 12 peratus daripada nilai aset bersih industri dan pertumbuhannya begitu menggalakkan, katanya.

Nor Mohamed kemudiannya menyampaikan Anugerah KLIFF kepada individu paling cemerlang dalam sumbangannya kepada kewangan Islam iaitu Pengerusi Eksekutif Amcorp Group Bhd Tan Sri Azman Hashim dan Sheikh Dr Mohamed Ali Elgari, Profesor Ekonomi Islam di King Abdul Aziz University, Arab Saudi.

Sementara itu, institusi terbaik bagi sumbangannya kepada kewangan Islam dibolot oleh Al Baraka Banking Group of Bahrain.

Anugerah lain yang diumumkan termasuk Bank Islam Terbaik (Maybank Islamic Bhd), perbankan runcit Islam terbaik (Bank Kerjasama Rakyat Malaysia), perbankan pelaburan Islam terbaik (CIMB Islamic Bank Bhd), syarikat Takaful terbaik (Etiqa Takaful Malaysia Bhd), pengurus dana Islam terbaik (Public Mutual Bhd), produk kewangan Islam terbaik (Bursa Suq Al Sila Commodity Murabahah House), produk pembiayaan Islam terbaik (pejakan pelabur tunggal Perancis Air Asia sebanyak AS$336 juta), pembiayaan projek Islam paling inovatif (Sukuk al-Ijarah RM330 juta Projek Lintasan Shah Alam dan Sukuk al-Mudarabah RM415 juta) manakala terbitan sukuk paling inovatif (Sukuk Global Emas Petronas berjumlah AS$1.5 bilion).



-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.