03 November, 2009 21:13 PM

Pengendali Bas Singapura Didenda $1.69 Juta Mengatur Harga Tiket Ke Malaysia

Oleh Zakaria Abdul Wahab

SINGAPURA, 3 Nov (Bernama) -- Enam belas pengendali bas di Singapura dan persatuan perdagangan mereka, Express Bus Agencies Association (EBAA), didenda sebanyak $1.69 juta kerana mengatur harga bagi tiket bas mereka ke destinasi di Malaysia.

Competition Commission of Singapore (CCS) berkata pada selasa siasatan mereka mendedahkan bahawa pengendali bas dan persatuan tersebut terlibat dengan aktiviti mengatur harga tiket bas dari 2006 hingga 2008.

CCS dalam satu kenyataan berkata menerusi mesyuarat tetap di bawah naungan EBAA, pengendali bas didapati sama ada mengatur harga bas pada melebihi harga jualan minimum, atau mengenakan caj bahan api dan insurans bagi menaikkan harga tiket.

Sepanjang tempoh tiga tahun itu, CCS berkata pengendali bas terbabit dianggarkan meraih lebih S$3.65 juta daripada jualan caj bahan api dan insurans.

Siasatan CCS menunjukkan terdapat perjanjian yang dicapai pada 1 Jun, 2005 oleh EBAA untuk menetapkan harga tiket bas ke pelbagai destinasi di Malaysia.

Perjanjian ini diteruskan selepas 1 Jan, 2006 apabila Akta Persaingan berkuat kuasa di Singapura.

CCS berkata didapati bahawa pengenalan harga jualan minimum dibuat berdasarkan kepada hasrat untuk mengelak sebarang perang harga dan meminimumkan sebarang penurunan harga tiket bas di kalangan pesaing.

Sebelum pengenalan MSP, anggota EBAA menjual tiket bas pada pelbagai harga, terutamanya, pada harga lebih rendah.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.