03 November, 2009 20:25 PM

Eon Bank Jangka Pertumbuhan Pinjaman 10 Peratus Menjelang Akhir Tahun

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- EON Bank Group yakin dapat mencapai pertumbuhan pinjaman sebanyak lebih 10 peratus menjelang akhir tahun berikutan kempen-kempen dan promosi yang dilancarkan tahun ini.

Ketua pegawai eksekutifnya, Michael Lor, berkata bank itu telahpun mencatatkan pinjaman perumahan berjumlah lebih RM1.5 bilion setakat akhir September tahun ini.

Bank itu juga menyasarkan untuk mencatatkan pinjaman perumahan baru bernilai RM200 juta melalui produknya. "Pinjaman Rumah Super Easi 123 Deposit Tetap" (HLFD) dalam tiga bulan akan datang, katanya pada pelancaran produk itu di sini Selasa.

Menurut Lor, segmen pinjaman perumahan terus penting bagi Eon Bank kerana pinjaman pengguna merupakan 65 peratus keseluruhan nilai aset pinjaman.

"Dalam dua atau tiga bulan kebelakangan ini, kami nampak trend ekonomi yang positif dan ia akan terus bertambah baik berikutan Bajet 2010 properniagaan yang diumumkan baru-baru ini," katanya.

"Ekoran itu, kita boleh menjangkakan kegiatan perniagaan kembali normal, dan orang boleh terus melabur dan membeli aset, terutamanya harta," katanya.

Lor berkata produk Super Easi baru itu disandarkan kepada kadar deposit tetap 12 bulan, yang lebih telus dan mudah difahami pelanggan.

Beliau berkata produk ini ditawarkan pada kadar kompetitif iaitu sehingga kadar deposit tetap ditambah 1.25 peratus.

Menurutnya kadar deposit tetap setahun Eon Bank kini adalah pada 2.50 peratus manakala penanda aras ialah 5.55 peratus.

"Pakej ini disediakan untuk semua pelanggan yang memohon pinjaman rumah dengan EON Bank, baik bagi pembiayaan semula mahupun pembelian harta yang telah siap dengan nilai minimum harta RM200,000," katanya.

Tentang kadar faedah pinjaman perumahan, Lor berkata kadar faedah pinjaman perumahan yang semakin meningkat sememangnya tidak dapat dielakkan.



-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.