03 November, 2009 19:59 PM

Industri Motosikal Malaysia Dilanda Krisis Ekonomi- Mustapa

PETALING JAYA, 3 Nov (Bernama) -- Malaysia, pasaran kecil untuk motosikal, turut terjejas oleh kelembapan global dalam industri berkenaan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed.

Pengeluaran motosikal dalam tempoh tiga suku pertama 2009 turun 21.7 peratus kepada 326,584 unit berbanding 417,051 unit yang dikeluarkan dalam suku yang sama tahun lepas, kata beliau.

"Jualan turut merosot sebanyak 21.4 peratus dalam tempoh yang sama kepada 325,818 dalam tahun 2009 daripada 414,445 unit pada 2008," kata beliau pada majlis pelancaran model baru Kawasaki "KLX 150S" berharga RM8,589.

Bergerak ke hadapan, Mustapa berkata, dalam usaha ke arah meningkatkan pembangunan industri domestik dengan lebih cekap, industri akan terus diliberalisasikan mulai 1 Jan, 2010 menerusi pengeluaran Lesen Pengilang bagi segmen terpilih tanpa mengenakan sebarang syarat ekuiti.

Ini termasuklah pengeluaran motosikal dengan kapasiti enjin 200cc dan ke atas, kata beliau.

"Memandangkan kerajaan telah melakukan banyak usaha untuk merancakkan industri, industri mestilah memainkan peranan berkesan dengan memberi tumpuan dan melabur lebih banyak dalam program penyelidikan dan pembangunan.

"Keutamaan utama ialah mempromosikan aktiviti tambah nilai yang tinggi," kata beliau.

Ini juga akan membantu pengeluar alat ganti motosikal dan komponen untuk menaik taraf kualiti produk mereka, kemahiran dan perkhidmatan serta membantu meningkatkan peratusan komponen yang disumberkan dalam negara, kata menteri itu.

Menerusi semakan semula Dasar Automotif Nasional (NAP), kerajaan menyediakan sokongan kepada industri domestik melalui penerusan Dana Pembangunan Automotif dan Dana Pelarasan Industri.

"Oleh yang demikian, adalah penting yang sementara kerajaan melaksanakan langkah merancakkan pembangunan industri automotif, peserta industri sendiri perlu bersikap lebih agresif dan proaktif dalam usaha memastikan mereka terus berdaya saing dan berdaya tahan serta kreatif dan inovatif dalam merebut sebarang peluang yang terhasil daripada situasi ekonomi semasa," tambah beliau.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.