Berita-berita Lain
- Salam Perpisahan Petronas Kepada Hassan Dengan Penuh Kenangan Manis
- Untung Pracukai Suku Kedua Dialog Naik 32.8 Peratus Kepada Rm36.783 Juta
- 764,000 Rakyat Malaysia Kunjungi Singapura Tahun Lepas
- F&N Rekod Prestasi Suku Tahunan Terbaik
- Masteel Laksana Projek Pengembangan Untuk Penuhi Permintaan Produk Keluli
24 Januari, 2009 16:25 PM
Najib: Malaysia Perlu Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua
PEKAN, 24 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata langkah progresif Malaysia dalam memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi kedua adalah perlu dalam ketidaktentuan ekonomi global pada masa ini.
"Adalah baik bagi kita melakukannya secara progresif kerana kita tidak tahu saiz masalah global itu tetapi menurut penilaian kita, pakej kedua itu amat perlu.
"Sebaik sahaja kita memenuhi penilaian itu, maka, bermulakan proses pembentukan pakej kedua itu," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan, sumbangan Amanah Raya Berhad kepada 2,000 pelajar di kawasan Parlimen Pekan di sini, Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah kerajaan dalam menghadapi krisis ekonomi global yang semakin meruncing.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata pakej rangsangan amat penting dalam mewujudkan lebih banyak aktiviti ekonomi selain mengatasi masalah pembuangan pekerja secara beramai-ramai.
Najib berkata beliau juga berharap orang ramai dapat memberikan pandangan dan maklum balas mengenai langkah-langkah yang boleh diambil kerajaan bagi mengatasi krisis ekonomi itu.
"Seperti yang kita tahu, saya telah melancarkan laman web saya (www.1malaysia.com.my) dan saya ingin mendapatkan pendapat dan pandangan orang ramai dan kita juga mahu cuba dapatkan sebanyak mungkin maklum balas dari semua sektor ekonomi," kata beliau.
Pada masa ini Najib berkata beberapa langkah fiskal dan kewangan telahpun diambil bagi menghadapi krisis ekonomi global itu.
"Semalam, Bank Negara telah membuat pengumuman, dana sebanyak RM2 bilion untuk PKS dan skim jaminan kredit yang bermakna mereka boleh mendapatkan pinjaman dari bank. Ini adalah perkembangan yang amat besar kerana jika bank terus memberikan pinjaman, maka lebih banyak aktiviti ekonomi dan tiadalah pengurangan pekerjaan secara besar-besaran," kata beliau.
Bank Negara Malaysia (BNM) semalam mengumumkan pewujudan sebuah Skim Jaminan Bantuan PKS (SAGS) untuk memastikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), yang berdaya maju yang menerima kesan buruk kelembapan ekonomi semasa, mendapat akses pembiayaan yang mencukupi.
Dalam perkembangan lain, Najib turut mengucapkan selamat Tahun Baru Cina kepada kaum Tionghua dan berharap seluruh rakyat Malaysia akan bekerja lebih gigih dan tekun dalam menghadapi kemelut krisis ekonomi dunia.
"Tahun ini, pertumbuhan ekonomi kita dijangka lebih perlahan dari tahun sudah, oleh itu kita semua mesti melipat gandakan usaha kita dan dengan usaha yang lebih tekun, gigih serta dengan dasar-dasar kerajaan yang tepat, Insyaallah kita akan dapat keluar daripada tekanan krisis kewangan dunia ini dan kita akan dapat mengembalikan semula pertumbuhan yang baik untuk negara kita," katanya.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.



