Bernama.com
Am 17 November, 2009 18:37 PM
 
Rosmah Berhasrat Membawa Rekaan Busana Muslim Ke Amerika Syarikat


KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berharap dapat menyampaikan hasrat untuk mengadakan pertunjukan fesyen Busana Muslim kepada Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS) Michelle Obama tahun depan.

Beliau berkata niatnya itu boleh dijayakan jika terdapat majlis pertemuan isteri-isteri pemimpin semasa berlangsungnya Persidangan Nuklear di Washington April nanti.

"Saya telah dimaklumakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah dijemput oleh Obama (Presiden AS) sendiri untuk hadir Persidangan Nuklear di Washington.

"Saya berharap dapat pergi bersama dan akan sampaikan niat untuk membawa rekaan Busana Muslim ini ke AS dan negara-negara barat lain," katanya kepada pemberita selepas berucap pada majlis pelancaran Festival Fesyen Media Islam, (IFF) 2009 di sini Selasa.

IFF kali kelapan ini adalah antara badan bukan kerajaan (NGO) yang menerima sumbangan RM20,000 daripada dana RM7 juta yang disumbangkan oleh kerajaan Arab Saudi untuk diagih-agihkan kepada NGO dan badan kebajikan di bawah naungan isteri Perdana Menteri.

Sebagai penaung acara itu, Rosmah berkata IFF juga akan menganjurkan pertunjukan khas pada hari akhir acara, iaitu 25 Nov ini, untuk mengumpul dana membantu mangsa gempa bumi di Padang, Indonesia.

Sementara itu, pengasas IFF Datuk Raja Rezza Shah berkata acara yang berlangsung selama tiga hari bermula 23 Nov ini akan menampilkan lebih 30 pereka dari Malaysia, Indonesia, Jordan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Maghribi, Itali dan United Kingdom.

Beliau berkata ia juga bakal mempersembahkan lapan pertunjukan yang akan dianjurkan oleh pelbagai pertubuhan dan badan kebajikan antaranya Persatuan Pandu Puteri Perak, Yayasan Tuanku Najihah dan Yayasan Tuanku Syed Putra.

Turut berangkat ke majlis ialah Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan Tengku Puteri Seri Teja Pahang Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah.

-- BERNAMA
Copyright © 2010 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels