| Golongan Ulama Tuntut Kerajaan Mudahkan Pemberian Tauliah |
|
KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Kelompok Intelektual Muslim Muda akan mengemukakan lapan tuntutan kepada kerajaan bagi urusan permohonan tauliah untuk berceramah berikutan kesukaran mendapatkan kelulusan permohonan sekarang.
Jurucakap persatuan itu, Dr Azwira Abdul Aziz berkata lapan tuntutan itu dicapai hasil muzakarah selama lebih dua jam bersama kira-kira 100 anggotanya yang terdiri daripada ulama yang mempunyai kelayakan dan diiktiraf oleh institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan luar negara.
"Antara negeri yang paling sukar mendapatkan tauliah ialah Selangor manakala Perlis dan Johor merupakan negeri yang tidak mempunyai masalah dalam pemberian tauliah," katanya kepada pemberita di sini Sabtu malam.
Lapan tuntutan itu ialah:
- Meminta pihak berkuasa agama tempatan tidak prejudis tanpa sebab dan melabel sesat kepada mana-mana individu tanpa sabit kesalahan.
- Layanan adil dalam pemberian tauliah untuk aktiviti ceramah dan pengajaran agama.
- Buang senjata tuduhan seperti 'Wahabi' kepada tokoh-tokoh agama, yang tercetus hanya disebabkan perbezaan pendapat.
- Membantah institusi-institusi agama yang membiarkan individu-individu dan pihak-pihak tertentu membuat tuduhan kononnya ulama kerajaan Saudi sebagai sesat yang boleh memberikan implikasi buruk terhadap hubungan antara Malaysia dengan negara berkenaan.
- Menghentikan cercaan kepada tokoh-tokoh ilmuan Islam.
- Beri ruang secara adil kepada aliran yang tidak dikategorikan sebagai sesat.
- Individu yang mempunyai sijil kelayakan yang sah daripada IPT tempatan dan luar negara yang diiktiraf, tidak perlu mendapatkan tauliah untuk berceramah.
- Sesuatu sentimen setempat tidak boleh dijadikan tuduhan seseorang itu sesat selagi tidak disertakan dengan dalil-dalil yang menyokong dakwaan itu.
-- BERNAMA
|
|
|