| Pairin: Masalah Pendatang Tanpa Izin Di Sabah Perlu Penyelesaian Mutlak |
|
KOTA KINABALU, 7 Nov (Bernama) -- Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan berkata masalah pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah yang sudah berlarutan sekian lama perlu penyelesaian mutlak.
Beliau berkata setakat ini belum ada penyelesaian konkrit atau tindakan serius diambil bagi mengatasi masalah itu.
"Tindakan penyelesaian yang diambil sebelum ini hanyalah bersifat sementara dan tidak berterusan. Kita masih melihat PTI berkeliaran di kawasan bandar dan juga luar bandar.
"Mereka bersikap seolah-olah negeri Sabah adalah tanah air mereka sendiri. Tidak kurang juga dalam bidang-bidang perniagaan yang telah diambil alih oleh golongan ini termasuk bersaing untuk merebut peluang pekerjaan orang tempatan di negeri ini," katanya.
Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kongres ke-24 PBS, di sini malam ini.
Perasmian kongres PBS itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pairin berkata PBS memahami keperluan pekerja asing di sektor pembinaan dan perladangan "tetapi apa yang tidak kita setujui ialah pengambilan pekerja tidak secara sah".
"Oleh itu, saya ingin memohon jasa baik YAB Datuk Seri (Najib) mengambil langkah-langkah yang terbaik bagi menyelesaikan masalah ini 'once and for all'," katanya.
Sehubungan itu, Pairin mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khusus yang melibatkan tidak kurang daripada tiga anggota kabinet negeri Sabah, sekaligus menunjukkan kesungguhan dan keseriusan kerajaan mengatasi dan menyelasaikan masaalah PTI di negeri ini.
"Satu-satunya masalah besar di negeri Sabah di mana semua komponen BN termasuk pembangkang akan turut menyokong ialah penyelesaian terhadap PTI.
"Saya turut mencadangkan agar kita dapat memuktamadkan satu tempoh masa iaitu pada 2012 untuk menyelesaikan masalah ini. Saya amat-amat yakin bahawa semua pihak rela berganding tangan demi untuk menjayakan misi ini," katanya.
Mengenai gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Pairin berkata wawasan yang terkandung dalam gagasan itu amat bertepatan, strategik dan langkah berani seorang pemimpin yang mahu mempersatukan bangsanya demi mencapai matlamat kemajuan bersama.
"PBS menyambut baik bangkitan semangat Gagasan 1MALAYSIA ini dan terus memberi sokongan penuh terhadap agenda yang ingin direalisasikan oleh pihak kerajaan yakni memperkasakan perpaduan dan kesepakatan kaum di negara ini.
"Saya turut diyakinkan bahawa hanyalah dengan sikap hormat menghormati, memahami dan menerima keunikan setiap kaum maka barulah kita dapat mengorak langkah seiring untuk mencapai matlamat yang diimpikan," katanya.
Pairin turut mencadangkan agar penjawat-penjawat awam dari negeri Sabah dan Sarawak yang berkelayakan, diberi peluang untuk ditempatkan sebagai ketua-ketua jabatan di kementerian dan agensi-agensi penting kerajaan Persekutuan.
Katanya pelantikan itu amat penting bagi mempastikan input-input penting dan sumbangan-sumbangan idea daripada kedua-dua negeri, terutama yang berkaitan dengan program pembangunan, dapat disesuaikan mengikut keperluan di kedua-dua negeri berkenaan.
-- BERNAMA
|
|
|