| Dua Juruterbang Qantas Digantung Berkaitan Insiden Tayar Pesawat |
|
MELBOURNE, 4 Nov (Bernama) -- Dua juruterbang Qantas telah digantung selepas berlaku satu insiden Isnin lepas apabila mereka menyedari belum menurunkan tayar pesawat apabila hanya 200m lagi sebelum mendarat.
Isnin lepas, penerbangan Boeing 767 dari Melbourne ke Sydney hanya beberapa saat lagi untuk mendarat apabila juruterbangnya menyedari tayar pesawat itu belum diturunkan.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia yang sedang menyiasat kejadian yang hampir menyebabkan berlaku kemalangan buruk itu, percaya kejadian itu berlaku berikutan salah faham antara juruterbang dan pegawai pertamanya mengenai siapa yang sepatutnya mengendalikan alatan pendaratan, demikian menurut satu laporan di dalam "The Australian."
Altitud yang dicadangkan bagi menurunkan tayar pesawat ialah sekitar 600m tetapi Qantas menyatakan kesilapan itu sangat jarang berlaku.
Qantas akan melkukan penyiasatan sendiri mengenai insiden itu untuk memutuskan apa tindakan yang perlu diambil terhadap juruterbang berkenaan.
-- BERNAMA
|
|
|