| Projek Naik Taraf Jalan Raya Di Brickfields Akan Diteruskan |
|
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Kementerian Wilayah Persekutuan akan meneruskan projek menaik taraf jalan raya dan penyuraian trafik di sekitar Brickfields.
Timbalan Menterinya Datuk M. Saravanan berkata ia akan diteruskan selepas mendapat persetujuan penduduk dan peniaga di sekitar kawasan itu pada selasa yang sebelum ini membantah projek tersebut.
"Penduduk dan peniaga di Brickfields khususnya di Jalan Sultan Abdul Samad pada selasa telah bersetuju dengan projek menaik taraf jalan raya dan penyuraian trafik di kawasan ini.
"Sebelum ini mereka membantah kerana khuatir projek tersebut memberi kesan kepada keselamatan awam khususnya orang buta dan kanak-kanak sekolah di kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas sesi perbincangan dan dialog bersama wakil penduduk dan peniaga di Brickfields di sini.
Beliau berkata dalam perbincangan khas itu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjelaskan kepada wakil-wakil penduduk dan peniaga bahawa sebahagian dari kawasan ini akan dijadikan laluan sehala.
"Pembangunan itu turut menekankan aspek keselamatan seperti melebarkan laluan pejalan kaki dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua kerajaan telah memperuntukkan RM110 juta untuk menaik taraf jalan raya bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu.
Katanya kerja-kerja menaik taraf telah dimulakan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi.
Tambahnya pelan strategik yang turut digariskan ialah penyediaan tempat meletak bas dan kawasan mengambil serta menurunkan murid-murid sekolah yang lebih selamat sekaligus mengurangkan kesesakan lalu lintas.
-- BERNAMA
|
|
|