Bernama.com
Am 03 November, 2009 22:05 PM
 
Peguam Syarie Manohara Tarik Diri


KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Peguam syarie kepada Manohara Odelia Pinot telah menarik diri daripada mewakili isteri Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra itu dalam dua kes di Mahkamah Syariah.

Peguam Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry berkata beliau menerima notis yang memaklumkan penarikan diri Mohd Faiz Adnan dan Roshdan Sujak Rafie melalui faksimili kira-kira 6 petang Selasa.

"Bagaimanapun tiada sebarang alasan diberikan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Kedua-dua peguam berkenaan mewakili Manohara dalam kes saman suaminya yang menuntut agar model Indonesia berusia 17 tahun itu kembali taat dan menyerahkan semula hutang sebanyak RM1,112,250.

Beliau berkata Mahkamah Tinggi Syariah Kota Baharu, Kelantan telah menetapkan 8 Nov untuk pendengaran kedua-dua kes.

"Tengku Temenggong juga telah bersedia untuk memberi keterangan dan kami tidak mahu kes ini ditangguhkan lagi.

"Kami bersedia untuk meneruskan kes ini sama ada defendan mempunyai peguam atau tidak, dan sama ada defendan hadir atau tidak di mahkamah," katanya.

Selain kes di Mahkamah Syariah, Manohara dan ibunya Daisy Fajarina menghadapi satu lagi kes iaitu saman fitnah suaminya RM105 juta yang dikemukakan suaminya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, pada 12 Okt lalu, Mahkamah Tinggi itu membenarkan permohonan firma guaman Fakrul Hisham Abdullah and Associates untuk menarik diri daripada mewakili Manohara dan ibunya dalam kes saman fitnah tersebut.

Sehingga kini, kedua-dua defendan masih belum memfailkan pembelaan mereka terhadap tuntutan saman tersebut.

Sehubungan itu, mereka diberi masa sehingga 5 Nov ini untuk melantik peguam bagi mengelakkan daripada dikenakan penghakiman ingkar.

-- BERNAMA


Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels