Bernama.com
Am 03 November, 2009 21:08 PM
 
Dua Bekas Pengarah Syarikat Didakwa Tidak Jujur


KANGAR, 3 Nov (Bernama) -- Dua bekas pengarah sebuah syarikat pemaju pada selasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan di bawah Akta Syarikat berhubung kontrak pembinaan projek perumahan bernilai RM1.6 juta, tujuh tahun lepas.

Lee Yew Kay, 50, dan Koo Kok Bun, 52 yang merupakan pengarah Penasuria Corporation Sdn Bhd., didakwa tidak jujur sehingga membawa keuntungan peribadi kepada mereka dalam perjanjian dengan syarikat Isuretek Construction.

Perbuatan tertuduh itu telah mendorong syarikat itu menandatangani perjanjian itu pada 18 Okt 2002 bagi membina 29 unit rumah di Lot 58 dan sebahagian Lot 415 di Mukim Jejawai di sini.

Kedua-dua tertuduh, yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 132(1) Akta Syarikat 1965 (Akta 125) yang memperuntukan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM30,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Mohd Azies Han Mohd Fadzli daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Hakim Wan Norzanuan Wan Ahmad kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM3,500 ke atas setiap tertuduh dan menetapkan 4 Disember ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA


Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels