| Dua Insinerator Akan Dibina Di Melaka Dan Johor |
|
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Kerajaan sedang menimbang untuk membina dua buah insinerator di Melaka dan Johor bagi menampung kebergantungan kepada 178 tapak pelupusan sampah ketika ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin berkata projek yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) itu kini di peringkat mengenalpasti kos pembinaan sebelum dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk kelulusan.
"Ketika ini terdapat sebanyak 178 tapak pelupusan sisa pepejal beroperasi di seluruh negara tetapi tiada insinerator untuk melakukan kerja-kerja pelupusan sisa pepejal.
"Kementerian sedang membuat penelitian dari segi kos pembinaan yang diperlukan. Setelah siap kertas cadangan tersebut akan diserahkan kepada EPU untuk tindakan susulan. Sebagai permulaan kita akan bina di Melaka dahulu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jumlah tapak pelupusan dan pembuangan sisa pepejal yang dikendalikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta jumlah insinerator yang beroperasi ketika ini.
Lajim berkata perkembangan lanjut mengenai cadangan itu akan diputuskan selepas mesyuarat kementerian tersebut 5 Nov ini.
Menurutnya lagi pembinaan insinerator boleh mengurangkan kapasiti sisa pepejal yang dikumpul tempat pelupusan sampah kerana negara diramal menghasilkan sebanyak 30,000 tan sisa pepejal sehari menjelang 2020.
Tahun lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu Datuk Seri Ong Ka Chuan semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2009 bagi pihak kementerian itu di Dewan Rakyat memaklumkan pelaksanaan projek insinerator untuk kerja-kerja pelupusan sisa pepejal ditangguhkan agar kajian lanjut dapat dilakukan terutama dari segi perbelanjaan kos operasi dan model yang sesuai.
Penangguhan tersebut juga dikatakan bagi memberikan peluang kepada kakitangan kementerian tersebut memperkasakan keupayaan untuk mengendalikan loji-loji insinerator.
Lajim berkata setakat ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga sedang membina lima buah insinerator mini di Pulau Tioman, Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Labuan dan Cameron Highlands.
-- BERNAMA
|
|
|