| Cerun Runtuh Di KM12 Jalan Rawang-Selayang |
|
RAWANG, 3 Nov (Bernama) -- Jalan persekutuan di Bukit Kanching KM12 antara Rawang dan Selayang yang ditutup kepada semua lalu lintas akibat cerun runtuh awal pagi Selasa, kini dibuka untuk laluan sehala ke Rawang.
Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Mansor berkata jalan itu dijangka beroperasi seperti biasa pada pukul 7 pagi esok sekiranya tidak berlaku kejadian susulan dan hujan.
Sehingga 4 petang, kelihatan pekerja dari Jabatan Kerja Raya dan syarikat kontraktor swasta bersama-sama 14 lori, dua jengkaut dan dua jentolak sudah membersihkan lebih hampir setengah daripada kawasan itu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesahkan tiada orang atau kenderaan tertimbus dalam insiden yang berlaku pada pukul 2.45 pagi sehingga mengakibatkan lebih 80,000 pengguna jalan itu terkandas.
"Kita telah melakukan tiga kali pengesanan dengan menggunakan enam anjing pengesan dan sehingga petang ini tidak menunjukkan tanda-tanda ada mangsa atau kenderaan tertimbus, bagaimanapun pemantauan di cerun runtuh ini akan diteruskan," kata Penguasa Bahagian Operasi Bomba Selangor Ramli Yusoff kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Runtuhan cerun yang menyebabkan bertan-tan tanah dan batu melimpahi sebelah jalan itu menutupi kawasan sepanjang 200 hingga 250 meter.
Operasi mencari dan menyelamat membabitkan 40 anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat,Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (Smart), Jabatan Pertahanan Awam dan agensi lain termasuk Majlis Perbandaran Selayang (MPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).
Smart mengunakan ujian "Delta Life Detector" dan mendapati tiada berlaku tanda pergerakan di bawah tanah.
Pada pukul 11 pagi, jalan itu dibuka kepada kenderaan ringan ke arah Kuala Lumpur sehingga pukul 4 petang.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang melawat kawasan itu pada 1.30 petang berkata satu mesyuarat khas akan diadakan Khamis ini bagi mencari jalan penyelesaian untuk mengelakkan kejadian sama berulang.
Pelbagai pihak akan dipanggil ke mesyuarat berkenaan termasuk JKR, MPS, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak termasuk Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) bagi mencari jalan penyelesaian
"Mesyuarat itu akan meneliti projek yang sedang dalam pembinaan di atas cerun itu yang melibatkan projek usahasama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan sebuah syarikat pemaju swasta," katanya.
--BERNAMA
|
|
|