Bernama.com
Am 03 November, 2009 19:18 PM
 
Bekas Pegawai Khas MB Selangor Dituduh Menipu


SHAH ALAM, 3 Nov (Bernama) -- Mohd Yahya Mat Sahri, bekas pegawai tugas-tugas khas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Selasa terhadap tuduhan menipu dan menggunakan dokumen palsu tahun lepas.

Dia dituduh menipu Presiden Kumpulan Darul Ehsan Bhd Datuk Abdul Karim Munisar untuk mempercayai bahawa Sekretariat Pakatan Rakyat memohon sumbangan bagi membiayai Majlis Sambutan 100 Hari Pakatan Rakyat.

Kesalahan didakwa dilakukan di Gardenia Coffee House, Quality Hotel di sini, pada 4 Jun 2008.

Mohd Yahya, 43, selaku pengarah program acara itu, dituduh dengan curangnya mendorong Abdul Karim untuk menyerahkan wang berjumlah RM50,000 kepada beliau sebagai sumbangan, sedangkan Abdul Karim tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan disebat dan boleh juga dikenakan denda.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Yahya dituduh menggunakan satu dokumen iaitu "Resolusi Pembukaan Akaun untuk Parti Keadilan Rakyat Selangor" sebagai tulen sedangkan dia tahu dokumen itu adalah surat pemalsuan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank cawangan Bandar Sunway pada 14 Mei tahun lepas.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mohd Josiendra Abu Senin mencadangkan RM15,000 sebagai ikat jamin tetapi peguambela Mohd Yahya, Yusmandi Yusoff memohon supaya jaminan dikurangkan memandangkan isteri tertuduh adalah seorang suri rumah sepenuh masa dan mereka mempunyai empat orang anak berusia tiga hingga 16 tahun.

Hakim Syafeera Mohd Said kemudian menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga menetapkan 19 hingga 23 April tahun depan untuk perbicaraan.

-- BERNAMA


Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels