Bernama.com
Am 03 November, 2009 19:03 PM
 
DBP Harap Lebih Ramai Sertai Festival Bahasa Dan Sastera


KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berharap Persatuan Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil serta Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Persendirian Cina menggalakkan lebih ramai pelajar mereka menyertai Festival Bahasa dan Sastera sempena Kempen Bulan Bahasa pada masa depan.

Ketua Pengarah DBP Datuk Termuzi Abdul Aziz berkata festival Kempen Bulan Bahasa yang julung kali diadakan agensi itu dan berakhir hari ini telah menarik minat lebih 200 pelajar dari Sekolah Menengah Persendirian Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil di seluruh negara.

"Melalui festival tiga hari yang berakhir hari ini, kita dapat membina generasi yang lebih bersefahaman, bertoleransi dan yang ada semangat cinta dan bangga terhadap bahasa kebangsaan kita," katanya ketika berucap sempena majlis Penangguhan Bulan Bahasa Kebangsaan dan Festival Bahasa dan Sastera 2009 di sini, Selasa.

"Festival ini sedikit sebanyak akan melahirkan generasi muda yang menyanyangi bahasa kebangsaan dan petah menggunakan bahasa itu dalam apa sahaja bidang," katanya.

Antara acara yang dipertandingkan bagi peringkat sekolah ialah berpidato, deklamasi puisi dan bercerita manakala kategori sektor kerajaan ialah Hadiah Ceria Bahasa Pihak Berkuasa Tempatan manakala kategori sektor swasta terbahagi kepada dua iaitu Hadiah Bahasa Institusi Perbankan dan Piala Pidato Bank Negara antara Institusi Kewangan.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels