Bernama.com
Am 03 November, 2009 19:00 PM
 
Anak Dikenakan Tindakan Tatatertib, Bapa Amuk Di Sekolah


KUCHING, 3 Nov (Bernama) - Seorang bapa yang tidak puas hati kerana anaknya dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak sekolah di sini telah mengamuk dengan memecahkan tingkap kelas Selasa.

Dalam kejadian 11 pagi itu, seorang lelaki yang bekerja sendiri, dipercayai dalam keadaan mabuk telah mengamuk di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Chung Hua No.3 di Jalan Padungan di sini dengan memecahkan tingkap tiga buah kelas dengan tanggannya.

Seorang pelajar Tahun Tiga yang duduk berdekatan dengan tingkap cedera di bahagian muka dan belakang telinga kerana terkena serpihan cermin tingkap.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Supt Fauzi Bujang yang mengesahkan kejadian tersebut berkata suspek berusia 38 tahun, bertindak demikian setelah dimaklumkan bahawa anaknya dikenakan tindakan disiplin.

"Mangsa digegaskan ke Hospital Umum Sarawak untuk menerima rawatan dan kini dilaporkan stabil," katanya kepada Bernama.

Fauzi berkata polis yang bergegas ke tempat kejadian apabila menerima laporan dari pihak sekolah menahan lelaki yang cuba bertindak agresif.

Beliau berkata suspek kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels