| Koperasi Kredit Hanya Dibenarkan Kenakan Empat Jenis Caj Bayaran |
|
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Berkuatkuasa serta merta, koperasi kredit hanya dibenarkan mengenakan empat jenis caj bayaran kepada peminjam bagi mengelakkan peminjam dibebani dengan pelbagai caj sehingga menyusahkan mereka.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata arahan itu bertujuan mengatasi masalah pembayaran tidak munasabah yang dikenakan ke atas peminjam, selain mengembalikan semula fungsi koperasi ditubuhkan.
"Tujuan kita wujudkan koperasi kredit dan membenarkan mereka meminjamkan wang adalah untuk membantu ahli yang mempunyai masalah kewangan. Tetapi apa yang berlaku sekarang fi (yuran) yang dikenakan terlalu tinggi sehingga menyusahkan peminjam.
"Ini saya anggap tidak munasabah dan luar daripada tujuan sebenar koperasi kredit diwujudkan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Selasa.
Ismail Sabri berkata untuk itu kementerian menetapkan hanya empat jenis bayaran yang boleh dikenakan iaitu caj pemprosesan yang tidak melebihi RM100 bagi satu pinjaman, setem duti sebanyak RM10, kos insurans bergantung kepada jumlah dan jenis pinjaman dan caj pelangsaian pinjaman adalah lima peratus daripada baki pinjaman yang belum selesai.
Beliau berkata ketika ini pihak koperasi mengenakan pelbagai caj antaranya, fi kepada ejen, komisen kepada ajen, sinking fund, bayaran insurans, yuran perlindungan serta berbagai bayaran pendahuluan yang jika dicampur sudah mencapai 40 peratus daripada jumlah asal pinjaman.
"Jumlah semua caj ini sudah jadi 40 peratus daripada jumlah pinjaman, jadi jika ditolak daripada RM10,000 yang dipinjam, peminjam mungkin boleh dapat RM6,000 daripada jumlah pinjaman mereka.
"Ini yang menyebabkan ramai ahli koperasi membuat aduan...dan ada yang telah keluar di akhbar. Ada dakwaan yang koperasi ini sudah menjadi seperti ah long... tapi ah long yang berlesen," katanya.
Ismail Sabri berkata kementerian dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memandang serius soal bayaran tersebut dan memberi jaminan perkara itu tidak akan berlaku lagi dengan penetapan caj baru tersebut.
Katanya terdapat 550 buah koperasi kredit di seluruh negara dan daripada jumlah itu, kementerian telah mengenal pasti 22 buah koperasi menjalankan perniagaan dengan mengenakan caj yang tidak munasabah.
"Kementerian dan SKM telah mengarahkan 22 koperasi itu untuk memberhentikan tindakan mereka dan sekiranya ingkar SKM mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan sama ada menggantung koperasi tersebut atau sebaliknya," katanya.
Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai dakwaan kewujudan pasar raya besar di kawasan luar bandar boleh membunuh perniagaan pasar mini dan peniaga sedia ada, Ismail Sabri berkata kerajaan masih dalam peringkat kajian mengenai kebenaran bagi penubuhan pasar raya besar di luar bandar.
Beliau berkata dasar kerajaan pada masa ini ialah pasar raya besar hanya dibenarkan dibuka sekiranya penduduk kawasan tersebut mencapai 250,000 orang.
"Sebagai sebuah kerajaan kita akan melindungi peniaga-peniaga kita sama ada besar atau kecil, dalam atau luar bandar. Sebab itu pada waktu ini kerajaan masih kekal dengan polisi yang ditetapkan iaitu daripada segi nisbah penduduk, satu hypermarket untuk 250,000 penduduk.
"Dengan dasar 250,000 penduduk yang ditetapkan kita tidak boleh membawa hypermarket ke bandar kecil kerana bandar kecil tidak mungkin ada penduduk sejumlah itu...jadi tak akan adalah hypermarket di bandar-bandar kecil," katanya.
-- BERNAMA
|
|
|