Bernama.com
Am 03 November, 2009 18:27 PM
 
Chua Soi Lek Masih Timbalan Presiden MCA: Pendaftar Pertubuhan


PUTRAJAYA, 3 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Chua Soi Lek masih Timbalan Presiden MCA, kata Pendaftar Pertubuhan (ROS) Datuk Md Alias Kalil.

Ini kerana tidak berlaku kekosongan jawatan itu memandangkan keputusan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA pada 10 Okt lepas tidak memenuhi keperluan dua pertiga majoriti supaya beliau dilucutkan seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 35 Perlembagaan MCA, katanya kepada Bernama Selasa.

Beliau berkata surat mengesahkan kedudukan Chua itu dihantar kepada MCA hari ini.

"Surat itu mengesahkan tidak berlaku kekosongan jawatan Timbalan Presiden MCA. Jawatan itu hanya boleh terlucut jika delegasi memberi majoriti dua pertiga untuk dilucutkan," katanya.

Chua sebelum itu berkata beliau telah menerima surat daripada ROS yang mengesahkan beliau masih Timbalan Presiden MCA.

Pada Ogos lalu, Majlis Presiden MCA memecat Chua daripada parti itu berkuatkuasa serta merta berikutan kes skandal seks beliau yang terpapar dalam DVD dua tahun lepas.

Bagaimanapun, pada 19 Sept, Jawatankuasa Pusat parti itu membatalkan keputusan pemecatan itu dan sebaliknya mengenakan hukuman gantung keahliannya selama empat tahun.

-- BERNAMA


Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels