Bernama.com
Am 03 November, 2009 18:11 PM
 
Bekas ADUN Teratai Hadapi 7 Tuduhan Kemuka Peruntukan Palsu


SHAH ALAM, 3 Nov (Bernama) -- Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor kawasan Teratai, Yap Soo Sun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas tujuh pertuduhan mengemukakan permohonan peruntukan Adun yang mengandungi butiran palsu bagi program perayaan yang tidak diadakan, membabitkan RM70,000, tahun lepas.

Yap, 43, dari Taman Mawar, Cheras dekat sini, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Dia didakwa sebagai Adun Teratai (semasa kejadian) mengemukakan dokumen permohonan pengeluaran peruntukan Adun yang mengandungi butiran palsu untuk program Mesra Rakyat Sambutan Hari Thaipusam bagi masyarakat di Taman Bukit Teratai, Taman Pandan Perdana, Taman Bukit Segar, Cheras Hartamas dan Taman Putra pada 23 Jan tahun lepas berjumlah RM40,000, sedangkan program itu tidak diadakan.

Yap yang hadir di mahkamah memakai kemeja batik berwarna merah didakwa melakukan keempat-empat kesalahan itu di Pejabat Daerah Hulu Langat, Hulu Langat dekat sini, 19 Jan tahun lepas.

Yap juga didakwa mengemukakan dokumen permohonan palsu untuk program Mesra Rakyat Sambutan Tahun Baru Cina bagi masyarakat di Taman Bukit Segar, Cheras Hartamas, Taman Putra dan Taman Bukit Teratai pada 10 Feb tahun lepas berjumlah RM30,000, sedangkan program itu tidak diadakan.

Dia didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di tempat yang sama pada 4 Feb tahun lepas.

Yap didakwa mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Roziza Sidek mencadangkan agar Yap dibebaskan dengan jaminan RM30,000 bagi kesemua pertuduhan.

Peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Yap bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM10,000 dengan alasan semua pertuduhan membabitkan transaksi yang sama.

Hakim Mat Ghani kemudian menetapkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan perbicaraan selama lima hari bermula 3 Mei tahun depan.

Mahkamah turut menetapkan 14 Dis ini untuk sebutan bagi penyerahan dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen berasingan pembantu Yap, Mohd Firdaus Abu Zarin, 41, mengaku tidak bersalah bersubahat dengan bekas Adun itu melakukan kesemua kesalahan terbabit.

Dia didakwa mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang dibacakan bersama Seksyen 20 (1) (c) Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta yang sama.

Roziza mencadangkan agar Mohd Firdaus dibebaskan dengan jaminan RM15,000 bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun Salehuddin yang turut mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana nilainya amat membebankan Mohd Firdaus yang membantu Yap secara sambilan dan tambahan pula anak guamnya terpaksa menanggung isteri yang menghidap darah tinggi dan lemah jantung.

Hakim Syafeera Mohd Said kemudian menetapkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kes Mohd Firdaus dibicarakan bersama kes Yap di hadapan Hakim Mat Ghani.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels