| Imigresen Sangkal Laporan Suspek Al-Qaeda Ditahan |
|
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Jabatan Imigresen menyangkal dakwaan bahawa enam suspek warga asing, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian Al-Qaeda, ditahan di sebuah hotel di ibu negara Jumaat lepas.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Abdul Rahman Othman berkata laporan yang disiarkan oleh akhbar tempatan pada Selasa yang membabitkan jabatan itu bersama polis adalah tidak benar.
"Saya terkejut dengan siaran akhbar tersebut sedangkan saya tidak tahu menahu mengenai perkara itu. Saya telah memeriksa dengan pegawai saya dan mereka sendiri mengesahkan tidak membuat sebarang serbuan seperti yang dilaporkan," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris hari ini berhubung penahanan enam lelaki dalam satu serbuan di sebuah hotel lima bintang di Jalan Ampang pada Jumaat lepas kira-kira pukul 9 malam oleh Jabatan Imigresen bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta polis.
Laporan itu turut menyebut kesemua suspek dihantar pulang ke negara masing-masing 24 jam kemudian.
Abdul Rahman berkata pihaknya telah merujuk kepada polis serta agensi yang dinamakan di dalam laporan itu dan kedua-dua pihak terlibat memaklumkan bahawa mereka juga tidak tahu mengenai perkara itu.
Ketua Pengarah Imigresen turut mempersoalkan beberapa fakta di dalam laporan akhbar itu mengaitkan lelaki berkenaan dengan kumpulan Al-Qaeda, yang menurutnya tidak masuk akal.
"Jika benar ada suspek Al-Qaeda ditahan, mengapa mereka terlalu cepat dihantar pulang iaitu dalam tempoh 24 jam," kata Abdul Rahman.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar ketika dihubungi enggan mengulas laporan berkenaan.
"Saya tidak mengesahkan atau menafikan.... tetapi akan lihat laporan itu terlebih dahulu," katanya.
-- BERNAMA
|
|
|