| Pelajar Bantu Ibu Koyak Pucuk Nipah Untuk Sara Hidup |
|
SUNGAI PETANI, 3 Nov ( Bernama ) -- Hati sesiapa sahaja pasti tersentuh apabila melihat seorang kanak-kanak terpaksa mengerah keringat membantu ibunya untuk mencari sesuap nasi dengan menjadikan pucuk nipah sebagai sumber pendapatan.
Walaupun baru berusia sembilan tahun, Mohd Ikmal Hikal Mohd Yaman, memahami kesusahan yang ditanggung ibunya dan tidak pernah merungut ketika diminta membantu melakukan sebarang kerja.
Pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan Kuala Muda itu, kelihatan tidak kekok mengoyak daun pucuk nipah untuk dijadikan rokok daun bagi dijual kepada peraih. Dia melakukan kerja berkenaan setiap hari selepas pulang dari sekolah.
Penderitaan Mohd Ikmal, ibu serta dua adiknya bermula selepas bapanya Mohd Yaman, 36, terpaksa menjalani hukuman penjara selama dua tahun akibat penyalahgunaan dadah.
Keadaan itu memaksa ibunya Rozita Yaakob, 32, membawa mereka tinggal menumpang di rumah neneknya (sebelah ibu) di Kampung Masjid, Kuala Muda di sini.
Menurut Rozita, dia dan Mohd Ikmal mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 200 ikat rokok daun dengan pendapatan RM25 seminggu.
"Dengan pendapatan sebanyak itu saya agih-agihkan untuk membeli makanan dan belanja Mohd Ikmal ke sekolah," katanya. Dua lagi anaknya, Mohd Danial Haikal, 6, dan Nor Alia Nor Ain, 3.
Penderitaan keluarga itu mendapat perhatian Naib Ketua Pergerakan Puteri Umno Shahanim Mohd Yusof yang melawat mereka semalam yang berjanji akan cuba membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga itu.
Sementara itu, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Muda ketika dihubungi Bernama memberitahu JKM sudah meluluskan bantuan bulanan sebanyak RM300 sebulan kepada keluarga berkenaan dan mereka akan mula menerima bantuan itu Disember ini.
-- BERNAMA
|
|
|