| Lebih 400 Sekolah Rendah Gagal Capai Tahap Minimum Peperiksaan Awam |
|
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Sejumlah 430 sekolah rendah di negara ini didapati tidak mencapai tahap penguasaan minimum dalam pencapaian peperiksaan awam berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) dalam tempoh empat tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.
Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata berdasarkan skala GPS, sekolah-sekolah berkenaan memperoleh GPS melebihi 4.00, iaitu pencapaian keseluruhan antara D dan E atau tidak mencapai tahap penguasan minimum.
Daripada jumlah itu sebanyak 116 sekolah didapati tidak mencapai tahap penguasaan minimum pada 2005, 110 (2006), 106 (2007) dan 98 sekolah pada 2008, katanya.
"Bagaimanapun berdasarkan pencapaian gred purata sekolah rendah dari 2005 hingga 2006, didapati tahap penguasaan dan pencapaian dalam peperiksaan awam sekolah rendah semakin baik dengan data menunjukkan bilangan sekolah mencapai tahap penguasaan minimum semakin berkurangan," katanya.
Kementerian Pelajaran mengukur pencapaian sesebuah sekolah dalam peperiksaan melalui Gred Purata Sekolah (GPS). Skala ukuran GPS adalah 1 hingga 5 bermaksud semakin rendah GPS sesebuah sekolah maka semakin baik pencapaian sekolah berkenaan.
Dr Wee berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang ingin tahu jumlah sekolah rendah di seluruh negara yang merekodkan kelulusan sifar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mengikut negeri sejak lima tahun lepas dan program untuk membantu sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak serta kawasan penempatan Orang Asli di Semenanjung.
Mengenai masalah keciciran pendidikan di kalangan Orang Asli dan peribumi di Sabah dan Sarawak, Dr Wee berkata pelbagai program dilaksanakan untuk mengatasi masalah itu termasuk penubuhan Sekolah Model Khas Komprehensif (K9), pemberian pelbagai insentif, program mendekatkan diri dan pelaksanaan Kelas Dewasa Bagi Ibu Bapa Murid Orang Asli dan Peribumi (KEDAP) Kementerian Pelajaran.
-- BERNAMA
|
|
|