| Perbicaraan Rasuah Bekas Ketua Pengarah Imigresen Ditangguh 2 Dis |
|
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini menangguhkan perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Wahid Md Don kepada 2 Disember ini selepas peguam tertuduh cuti sakit.
Hakim Rosbiahanin Ariffin menetapkan tarikh baru perbicaraan selama tiga hari selepas mahkamah dimaklumkan bahawa peguam Datuk V.Sithambaram cuti sakit pada Selasa.
Semalam, prosiding tersebut, yang ditetapkan untuk sambung bicara, terpaksa ditangguhkan ke Selasa selepas Sithambaram memohon penangguhan kerana tidak sihat.
Pada 19 Ogos, 2008, Wahid, 57, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menerima rasuah berjumlah RM60,000 daripada seorang ahli perniagaan Datuk Low Chang Hian sebagai upah bagi mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No.3167, Jalan Lembah Ledang, off Jalan Duta, di sini, pada pukul 10.15 malam, 10 Julai, 2007.
Dia didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh diihukum penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nik Azrin Zairin Nik Abdullah.
-- BERNAMA
|
|
|