Bernama.com
Am 03 November, 2009 17:21 PM
 
Kempen Jadikan Musim Haji Bebas Tembakau Dilancar


MEKAH, 3 Nov (BERNAMA) -- Kementerian Kesihatan telah melancarkan kempen di kalangan jemaah haji untuk menjadikan Mekah dan Madinah bebas dari tembakau sepenuhnya, lapor harian Arab Saudi berbahasa Inggeris, Arab News Selasa.

"Di bawah Program Kawalan Tembakau (TCP) kementerian, kami telah mencetak sekitar 1.5 juta risalah dalam pelbagai bahasa untuk diedarkan kepada jemaah haji - perokok dan bukan perokok," harian itu menyebut Majed Al-Munif, ketua penyelia TCP sebagai berkata.

Katanya, risalah itu terdapat dalam beberapa bahasa seperti Arab, Inggeris, Perancis, Parsi, Urdu, Turki, Indonesia dan Swahili.

"Kami memerlukan kerjasama jemaah haji untuk menjadikan dua bandar suci itu di kalangan bandar yang paling kecil pengambilan tembakau di dunia," katanya, dan menambah kawasan dalam lengkongan lima kilometer sekitar Tanah Haram di Mekah dan Madinah adalah bebas tembakau dengan jualan tembakau dilarang keras.

Poster yang membawa mesej anti-merokok, maklumat mengenai klinik anti-merokok dan fatwa mengenai perkara itu dipasang di dua bandaraya itu. Bas yang membawa jemaah haji juga dipasang poster anti-merokok.

Poster juga dipasang di Mina. Folder mengandungi risalah, poskad dan stiker juga diberi kepada jemaah semasa di Jamrah.

Munif berkata musim haji adalah peluang ideal untuk perokok berhenti merokok.

Kami telah mencipta slogan 'Make Arafat Day, A Quit Smoking Day' (Jadikan Hari Arafah, Hari Berhenti Merokok) untuk diterima sebagai satu ikrar.

Pada 2002, Raja Arab Saudi Raja Abdullah mengisytiharkan dua bandaraya suci Mekah dan Madinah sebagai bebas tembakau.

Lebih dua juta berkunjung ke kedua-dua bandaraya suci itu semasa musim haji setiap tahun.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels