Bernama.com
Am 03 November, 2009 17:20 PM
 
Presiden China Dan Indonesia Lawat Malaysia - Anifah


PUTRAJAYA, 3 Nov (Bernama) -- Presiden China Hu Jintao dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono akan melawat Malaysia selama dua hari minggu depan, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Anifah berkata Hu Jintao akan berada di negara ini pada 10 dan 11 Nov sebagai membalas kunjungan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin, ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong melawat China pada 2005 dan lawatan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin semasa perasmian Sukan Olimpik Beijing pada Ogos tahun lepas.

"Tahun ini merupakan ulang tahun ke-35 jalinan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China," kata Menteri Luar pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Anifah berkata Hu Jintao dijadual menghadap Tuanku Mizan di Istana Negara dan menghadiri jamuan negara bersama Tuanku Mizan pada hari pertama lawatannya dan keesokannya beliau akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kedua-dua pihak akan membincangkan tentang meningkatkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara," kata Anifah.

Hu Jintao, yang akan diiringi isterinya Liu Yongqing, akan disertai 140 anggota rombongan dan 80 delegasi media massa.

Mengenai lawatan Presiden Indonesia pada 11 dan 12 Nov, Anifah berkata ia adalah lawatan pertama Bambang ke luar negara selepas mengangkat sumpah sebagai presiden republik itu bagi penggal kedua iaitu tahun 2009 hingga 2014.

"Antara atur cara lawatan Bambang pada hari pertama adalah sambutan rasmi di Medan Parlimen, menerima kunjungan hormat Perdana Menteri, menghadap Yang di-Pertuan Agong, manakala keesokannya beliau akan bertemu Perdana Menteri untuk mesyuarat delegasi kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata antara isu yang akan dibincangkan adalah untuk mempertingkatkan kerjasama kedua-dua negara dalam bidang tenaga kerja Indonesia dan persempadanan maritim serta perbincangan hal ehwal antarabangsa mengenai keselamatan makanan, tenaga dan antikeganasan.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels