| Kerajaan Beri Peruntukan RM438 Juta Untuk Institusi Kemahiran Mara |
|
JASIN, 3 Nov (Bernama) -- Kerajaan menerusi Bajet 2010 yang dibentangkan baru-baru ini memperuntukkan RM438 juta kepada institusi kemahiran di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk pengurusan latihan serta menaiktaraf institusi, kata Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek.
Katanya institusi kemahiran (IKM) di bawah MARA termasuk Kolej Kemahiran Tinggi MARA serta Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Tinggi.
"Sebanyak RM110 juta pula diperuntukan kepada pusat latihan kemahiran negeri dan institusi latihan terpilih bagi menjalankan program latihan industri terutamanya dalam bidang teknikal, hospitaliti, kulinari serta perabut.
"Oleh itu gunakanlah peluang yang diberikan oleh kerajaan ini sebagai pemangkin serta penggalak positif untuk meneruskan kecemerlangan serta meningkatkan modal insan berkemahiran tinggi," katanya ketika berucap sempena Sambutan 25 tahun IKM Jasin di sini pada Selasa.
Katanya usaha untuk mewujudkan institusi kemahiran di bawah MARA mempunyai matlamat agar kaum Bumiputera dapat menyertai bidang-bidang kemahiran sama ada sebagai pekerja mahupun sebagai usahawan dalam bidang yang diceburi.
Beliau meminta lebih banyak syarikat-syarikat gergasi mengutamakan pelajar-pelajar berkelulusan IKM sebagai pekerja mahir di syarikat mereka seperti Sime Darby, Proton, Petronas, Honda dan sebagainya.
"Kerajaan akan mempastikan pembangunan modal insan dilaksanakan secara komprehensif meliputi usaha meningkatkan kemahiran dan pengetahuan di samping menggilap keupayaan keusahawanan," katanya.
IKM Jasin yang dibuka sejak 1983, sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Latihan Kemahiran MARA yang ditubuhkan pada 1968 di Jalan Hang Tuah, Melaka, yang dijadikan asas kepada wujudnya Institusi Kemahiran MARA.
Antara kejayaan IKM Jasin ialah menyediakan kursus penyediaan badan dan enjin pesawat dijalankan antara MARA dan North Rice USA Inc yang diiktiraf oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat.
Pengambilan pelatih perintisnya sebanyak 50 orang pada I Jan 1997 dan beroperasi sehingga 2002 sebelum berpindah ke Dengkil, Selangor dan kini dikenali sebagai Malaysian Institute of Aviation Technology untuk memenuhi keperluan industri Aeroangkasa Negara.
-- BERNAMA
|
|
|