| Mayat Kanak-kanak Lemas Dijumpai Tersangkut Pada Jaring |
|
KUALA TERENGGANU, 3 Nov (Bernama) -- Kanak-kanak berumur empat tahun yang tergelincir ke dalam Sungai Kampung Titian Baru dekat sini petang semalam, dijumpai lemas pagi Selasa.
Mayat Mohd Junaidi Mat Ghani ditemui tersangkut pada jaring tidak jauh dari tempat kanak-kanak itu terjatuh pada 2.30 petang semalam.
Bapanya Mat Ghani Mohamad, 46, berkata anak kelapan daripada sembilan beradik itu keluar mengikut abangnya Mohd Farid, 11, yang mandi bersama beberapa rakan-rakannya di sungai itu.
Junaidi yang duduk di atas jambatan dipercayai tergelincir disebabkan keadaan yang licin kerana hujan sebelumnya.
Mat Ghani, pengurus Syarikat Semerah Padi Perabot berkata, laporan mengenai kehilangan anaknya telah dibuat di Balai Polis Cendering pada 8.40 malam Isnin.
Gerakan mencari dan menyelamat disertai orang kampung dan pasukan penyelamat.
-- BERNAMA
|
|
|