Bernama.com
Am 03 November, 2009 16:43 PM
 
Rejimen 60 AW Pakar Pengendali Air Tambah Anggota


KUALA SELANGOR, 3 Nov (Bernama) -- Pihak pengurusan Rejimen Ke-60 Pakar Pengendali Air akan menambah kekuatan anggotanya sebanyak 6,000 anggota dan 203 pegawai bagi memulih, mengendali dan menyelenggara sistem saluran air sewaktu darurat ataupun peperangan.

Kolonel Kehormat Rejimen Pakar Pengendalian Air ke-60 (AW), Tan Sri Rozali Ismail berkata satu kertas kerja bagi tujuan itu akan dikemukakan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Setakat ini, kami cuma ada sebanyak 1,120 anggota dan pegawai Rejimen Ke-60 Pakar Pengendali Air dan bilangan itu tidak cukup untuk memulih, mengendali dan menyelenggara perkhidmatan penting bekalan air untuk menghadapi kemungkinan darurat ataupun peperangan di seluruh Malaysia.

"Kita mesti mempunyai tenaga terlatih untuk menguruskan air pada waktu-waktu genting dan harap ATM dapat meluluskan permohonan kami dengan cepat," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Latihan Kem Tahunan Siri 6/2009 Zon Tengah (Selangor dan Negeri Sembilan) Rejimen Pakar Pengendalian Air ke-60 (AW) di sini.

Sumber air merupakan sumber dan harta negara yang amat kritikal bagi memastikan pentadbiran serta kehidupan rakyat tidak terjejas sewaktu darurat atau peperangan, katanya.

Menyedari kepentingan itu, ATM membentuk pasukan AW yang terdiri daripada kakitangan syarikat-syarikat pembekal perkhidmatan utama dalam sektor itu, iaitu Rejimen ke-60 Pakar Pengendalian Air yang dinaungi oleh Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels