Bernama.com
Am 03 November, 2009 16:38 PM
 
Kerajaan Digesa Senarai Hitamkan Kontraktor Projek Terbengkalai


NABAWAN, 3 Nov (Bernama) -- Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Tan Sri Joseph Kurup menggesa kerajaan menyiasat dan menyenarai hitamkan kontraktor yang gagal menyiapkan projek-projek kerajaan dan menyebabkan ia terbengkalai.

Beliau berkata perkara ini merugikan rakyat dan membebankan kerajaan kerana kerajaan terpaksa membuka semula projek itu untuk ditender dan membuat penambahan kos.

"Jika projek itu ditinggalkan atau terbengkalai, tidak ada kontraktor yang sanggup melaksananya kerana kos telah berkurangan dan hanya merugikan mereka.

"Tetapi jika projek itu ditinggalkan sudah tentu ia merugikan kerajaan dan penggunaannya," katanya kepada pemberita ketika mengadakan pemantauan ke tapak projek-projek pembangunan di daerah kecil Pagalungan di sini.

Oleh itu, katanya untuk meneruskan projek itu, kerajaan terpaksa mengeluarkan kos tambahan bagi memastikan projek kerajaan dapat dilaksana dan memberi manfaat kepada rakyat.

"Apabila ini berlaku sudah tentu wang rakyat digunakan untuk membiaya projek terbengkalai, dan ini adalah satu pembaziran wang rakyat, pembaziran cukai rakyat," ujar Kurup yang melawat pembinaan perumahan kakitangan kerajaan di daerah tersebut yang sepatutnya disiapkan pada awal tahun 2008.

Rumah dua unit itu yang menempatkan rumah penolong pegawai daerah dan kakitangan daerah kecil Pagalungan berharga RM500,000, kini terbiar dan hanya mencapai 50 peratus pembinaannya.

"Rakyat terpaksa membayar lebih untuk kos itu, ini tidak sepatutnya berlaku, dan kontraktor terbabit seharusnya menyiapkan projek ini mengikut masa yang ditetapkan dengan menggunakan kos yang telah diperuntukkan," kata Kurup.

Sempena lawatan itu Kurup turut melawat tapak dewan masyarakat dan gerai yang bakal disiapkan tidak lama lagi manakala bangunan urusetia daerah kecil itu kini telah siap dan hanya menunggu masa untuk digunakan.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels