Bernama.com
Am 03 November, 2009 16:20 PM
 
Malaysia Dijemput Membina Semula Iraq, Kata Anifah


PUTRAJAYA, 3 Nov (Bernama) -- Malaysia telah dijemput membina semula dan membantu Iraq bagi memastikan rakyat negara itu menikmati kehidupan biasa, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata Iraq bukan hanya menjemput Malaysia tetapi juga Turki bagi membantu membina semula Iraq yang telah dibedil dengan teruknya oleh Pasukan Sekutu asing untuk menyingkirkan bekas presiden Iraq Saddam Hussein.

"Kita merasakan bahawa mungkin ini lebih memberi manfaat untuk kita (Malaysia dan Turki) bekerjasama dalam aspek ini dan akhirnya mewujudkan peluang perniagaan...malahan kedua-dua Malaysia dan Turki mempunyai hubungan yang istimewa dengan Iraq," katanya pada persidangan akhbar bersama Menteri Luar Turki Prof Dr Ahmet Davutoglu di sini pada Selasa.

Anifah berkata kedua-dua negara akan menyediakan satu kertas kerja secepat mungkin untuk menggariskan cara-cara untuk membantu membina semula Iraq.

Mengenai hubungan Malaysia-Turki, beliau berkata mereka telah membincangkan langkah-langkah untuk memperluas dan meningkatkan hubungan dalam bidang perdagangan, pendidikan, pelancongan dan ketenteraan.

"Kita juga menyentuh sesetengah isu rantau dan antarabangsa dan mempunyai persefahaman bersama berkaitan isu dan juga keperluannya. Kita juga bercakap mengenai kemungkinan peluang perniagaan dan pelaburan bagi rakyat Turki dan Malaysia untuk meneroka peluang-peluang yang terdapat di negara ketiga serta kedua-dua negara ," tambah Anifah.

Sementara itu, Ahmet berkata Malaysia dan Turki perlu melakukan lebih banyak dalam aspek ekonomi, politik dan kebudayaan dengan mengadakan hubungan yang kerap pada peringkat tinggi antara pemimpin kedua-dua negara.

"Kita telah putuskan untuk mempunyai strategik dokumen kerja asing yang akan dibuat oleh diplomat kita untuk mesyuarat akan datang bagi menentukan bidang kerjasama antara Turki dan Malaysia," tambah beliau.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels