Bernama.com
Am 03 November, 2009 16:06 PM
 
Kerajaan Arab Saudi Beri Amaran Jangan Perkecil Keselamatan Jemaah


MEKAH, 3 Nov (Bernama) -- Majlis Menteri-menteri, pada Isnin, memberi amaran bahawa Kerajaan Arab Saudi tidak akan membenarkan mana-mana pihak untuk melemahkan keselamatan jemaah semasa musim haji yang akan bermula 25 Nov ini, demikian menurut laporan akhbar harian berbahasa Inggeris Arab News.

"Polisi negara ini tidak membenarkan mana-mana pihak untuk mengganggu gugat perjalanan operasi musim haji dan melemahkan keselamatan para jemaah," menurut laporan yang memetik kenyataan Kabinet.

Kabinet Arab Saudi turut memberi amaran terhadap sebarang tindakan pihak-pihak tertentu untuk mengwujudkan perpecahan di kalangan umat Islam dan meminta para jemaah supaya menghindarkan diri daripada semua aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan Haji.

Mesyuarat mingguan Kabinet, yang dipengerusikan oleh Pemegang Amanah Dua Masjid Raja Abdullah meminta para jemaah supaya menggunakan sepenuhnya masa mereka di tanah suci untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan sebanyak-banyaknya amalan ibadat, solat dan bermunajat.

"Semoga tidak akan berlaku persetubuhan, dosa mahu pun persengketaan semasa haji," kata Kabinet, yang memetik ayat Al Quran. Kenyataan Kabinet itu dikeluarkan berikutan komen Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad dan pemimpin agung Iran Ayatollah Ali Khamenei dalam satu tidakan yang dilihat cuba mempolitikkan Haji.

Menteri Haji Fouad Al-Farsy dan Presiden Majlis Syura Abdullah Al-Asheikh mengutuk tindakan itu sebagai memperkecil-kecilkan aspek keselamatan semasa musim haji.

Mereka menjelaskan mengenai usaha-usaha yang diambil kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan kemudahan para jemaah melaksanakan ibadah haji dengan selesa.

Akademi Fekah Islam turut menyeru para jemaah supaya mematuhi ajaran Islam semalam melakukan ibadat haji.

"Para jemaah seharusnya dapat menghayati tanah suci yang kudus dan peluang keemasan mereka semasa di Mekah," kata Setiausaha Agung Abdussalam Al-Abadi.

Al-Abadi berkata para jemaah tidak seharusnya terbabit dalam apa-apa kegiatan yang mengganggu ketenteraman haji, mengganggu gugat keselamatan dan kedamaian di tanah suci.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels