Bernama.com
Am 03 November, 2009 15:29 PM
 
APMM Gagalkan Cubaan Seludup Masuk 12 Salamander


TAWAU, 3 Nov (Bernama) -- Agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia di sini menggagalkan cubaan menyeludup masuk 12 ekor salamander dari negara jiran apabila berjaya merampas haiwan yang menyerupai biawak itu daripada seorang lelaki pada Isnin.

Pegawai APMM Lt Komander (M) Sharef Mac Queen Abdullah berkata haiwan berkenaan dirampas daripada sebuah bot laju yang datang dari arah Sungai Nyamuk, Indonesia pada 5.40 petang Isnin.

Katanya seorang lelaki berumur 51 tahun dan dipercayai pemilik haiwan berkenaan ditahan untuk membantu siasatan.

"Lelaki itu, selain gagal menunjukkan permit membawa haiwan itu masuk ke negara ini, memiliki dokumen perjalanan yang meragukan," katanya.

Lelaki berkenaan, yang merupakan seorang daripada enam orang yang berada dalam bot laju itu, termasuk seorang wanita, juga didakwa cuba memberi suapan kepada pegawai APMM.

Suspek berkenaan akan diserahkan kepada agensi penguatkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels