| Lapan Bot Baru Bomba Untuk Operasi Menyelamat |
|
PENGKALAN KUBOR, 3 Nov (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat telah membeli lapan buah bot baru bernilai RM3 juta khusus untuk operasi menyelamat.
Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Datuk Hamzah Abu Bakar berkata bot yang dibeli dari New Zealand itu bukan sahaja mampu digunakan dalam air bahkan juga di darat.
"Kita yakin dengan adanya bot ini, operasi membantu mangsa banjir pada musim tengkujuh ini akan dapat dilakukan dengan lebih berkesan kerana ia mampu pergi ke kawasan yang terputus hubungan," katanya kepada pemberita di sini Selasa selepas merasmikan Sambutan Hari Intergriti Dan Inovasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan di Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor.
Hamzah berkata keputusan membeli bot berkenaan dibuat setelah melihat keberkesanan penggunaannya ketika membantu mangsa banjir di Pahang pada tahun lepas.
"Istimewanya bot ini yang mampu membawa lapan penumpang ialah ia mempunyai roda membolehkannya bergerak di kawasan darat selain boleh diangkut menggunakan helikopter," katanya.
Hamzah berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat juga telah membeli 80 bot aluminium baru sebagai tambahan khusus untuk menghadapi musim tengkujuh.
-- BERNAMA
|
|
|